Pemain JDT menjalani latihan sebagai persiapan bertemu Vissel Kobe pada aksi ACLE di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. Foto Johor Southern Tigers
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tiada pilihan lain selain meraih kemenangan ke atas kelab Liga 1 Jepun, Vissel Kobe jika mahu kekal dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur dan layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Perlawanan terakhir di Stadium Sultan Ibrahim malam ini menjadi medan kritikal buat pengendali JDT, Xisco Munoz untuk menyalurkan segala pengalaman dan membentuk taktikal ampuh bagi memburu kemenangan menentang skuad kendalian Michael Skibbe.
Bagi Munoz, kemenangan 5-0 ke atas Melaka FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia baru-baru ini menjadi tonik berharga selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima di laman lawan minggu lalu.
Sebagai rekod, sejarah tidak memihak kepada JDT apabila skuad Harimau Selatan pernah tewas 1-5 kepada Vissel Kobe yang ketika itu diperkuat bekas bintang Barcelona, Andres Iniesta di Stadium Misaki Park pada Februari 2020.
Berdasarkan carta liga ACLE terkini, JDT menghuni tangga ketujuh dengan lapan mata, namun kedudukan mereka berisiko dipintas oleh dua kelab Korea Selatan, Gangwon FC dan Ulsan HD yang turut mengumpul lapan mata, serta Chengdu Rongcheng dari China (6 mata).
Di atas kertas, Vissel Kobe muncul sebagai pasukan pilihan menjelang aksi ini, hasil kutipan 16 mata daripada lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Sebaliknya, JDT perlu meraih tiga mata untuk memastikan tempat dalam kelompok lapan pasukan terbaik ke pusingan kalah mati.
Ringkasan AI
- JOHOR Darul Ta’zim (JDT) perlu menang lawan Vissel Kobe untuk kekal dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur ACLE
- Pengendali JDT, Xisco Munoz, perlu menggunakan pengalaman dan taktikal untuk memburu kemenangan
- Kemenangan 5-0 ke atas Melaka FC menjadi motivasi selepas kalah dengan Sanfrecce Hiroshima
- JDT pernah tewas 1-5 kepada Vissel Kobe pada Februari 2020
- Vissel Kobe dianggap pasukan pilihan dengan 16 mata, sementara JDT perlu tiga mata untuk ke pusingan kalah mati






