Pelompat ski Austria disingkirkan kerana saiz kasut terlebih empat milimeter

Pelompat ski Austria disingkirkan kerana saiz kasut terlebih empat milimeter


PELOMPAT ski Austria, Daniel Tschofenig digugurkan daripada final Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026 kerana kasutnya empat milimeter melebihi saiz dibenarkan, beberapa hari sahaja selepas kontroversi ‘alat sulit’ mencengkam temasya itu.

Tschofenig, 23, yang telah layak ke final pada Sabtu, meluahkan kekecewaan terhadap dirinya sendiri selepas digugurkan kerana kesilapan tersebut.

“Saya menggunakan kasut baharu semasa latihan. Saya tidak begitu berpuas hati dengan kasut itu, tetapi tetap memakainya.

“Malangnya, saya terlalu naif dan tidak menyemak saiznya. Itu satu kesilapan yang sangat bodoh daripada saya, ” katanya kepada penyiar Austria, ORF.

Juara Piala Dunia tahun lalu itu merupakan antara calon kegemaran untuk muncul juara sehingga peralatannya diperiksa segera selepas lompatan pertamanya.

Selepas mencatat 137.7 mata, Tschofenig kelihatan layak ke final, namun kemudian diumumkan sebaliknya.

“Perhatian semua, ada perubahan di sini,” kata pengulas TNT Sports, Ian Findlay sewaktu berita digugurkan itu disiarkan.

“Kami baru menerima maklumat bahawa Daniel Tschofenig telah digugurkan kerana saiz kasut empat milimeter melebihi had.

“Ini adalah pengguguran pertama dalam acara lompat ski Olimpik kali ini dan bermakna Hector Kapustik layak menggantikan beliau,” umum Findley.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas langkah baharu diperkenalkan bagi membanteras kontroversi pembesaran zakar atau ‘penis-gate’ dengan dakwaan tidak disahkan bahawa pelompat ski lelaki menggunakan suntikan asid hialuronik pada zakar untuk mendapat kelebihan kompetitif.

Dalam sukan lompat ski, saiz dan reka bentuk sut pelompat dikawal dengan ketat untuk memastikan tiada kelebihan aerodinamik yang tidak adil.

Para atlet menjalani pengimbasan 3D badan yang menentukan saiz sut mereka.

Laporan Bild mendakwa beberapa atlet mungkin cuba memanipulasi ukuran zakar mereka secara sementara, supaya kelihatan lebih besar ketika imbasan dibuat.

Ini boleh menyebabkan mereka diberikan sut yang lebih longgar, menghasilkan sedikit ‘lift’ tambahan di udara yang secara teorinya membantu mereka melompat lebih jauh.

Satu kajian dalam jurnal Frontiers mendapati setiap dua sentimeter tambahan pada lilitan pakaian mengurangkan rintangan udara sebanyak empat peratus dan meningkatkan daya angkat lima peratus iaitu bersamaan dengan tambahan 5.8 meter jarak lompatan.

Suntikan asid hialuronik pada zakar lelaki boleh menambah lilitan sebanyak satu hingga dua sentimeter, membolehkan pelompat memakai pakaian lebih besar dan meningkatkan aerodinamik mereka.

Bagi mencegah manipulasi tersebut, Persekutuan Ski dan Luncur Salji (FIS) memperkenalkan beberapa peraturan termasuk penggunaan cip mikropencegah gangguan dan semua pesaing perlu melalui pemeriksaan kawalan sebelum beraksi.

Ringkasan AI

  • Pelompat ski Austria, Daniel Tschofenig digugurkan daripada final Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026 kerana kasutnya melebihi saiz dibenarkan sebanyak empat milimeter
  • Tschofenig menggunakan kasut baharu semasa latihan dan mengaku terlalu naif tidak menyemak saiznya, menyifatkan kesilapan tersebut sangat bodoh
  • Dia merupakan juara Piala Dunia sebelumnya dan digugurkan setelah mencatat mata yang layak ke final
  • Insiden ini berlaku beberapa hari selepas kontroversi pembesaran zakar atau ‘penis-gate’ di mana pelompat ski lelaki didakwa menggunakan suntikan asid hialuronik untuk kelebihan aerodinamik
  • Persekutuan Ski dan Luncur Salji memperkenalkan peraturan untuk mencegah manipulasi termasuk penggunaan cip mikro dan pemeriksaan kawalan sebelum bertanding



Source link

OR

Scroll to Top