Pelakon popular Fasha Sandha, berkongsi berita duka apabila memaklumkan dirinya mengalami keguguran ketika usia kehamilan memasuki 10 minggu.
Alami keguguran, kandungan 10 minggu

Menerusi perkongsian di Instagram, Fasha menjelaskan kandungannya yang berusia 10 minggu tidak dapat diselamatkan atas faktor kesihatan bayi dalam kandungan.
Menurutnya, doktor memaklumkan bahawa keguguran tersebut bukan berpunca daripada faktor terlalu penat bekerja mahupun amalan diet yang sedang dilakukan.
“Bukan kerana terlalu banyak bekerja atau bergerak, bukan kerana terlalu kuat berdiet. Kata doktor, kerana baby A tak sihat, maka terjadilah keguguran awal kehamilan (10 minggu),” tulis Fasha, hari ini.
Dia turut berkongsi akan menjalani prosedur dilatasi dan kuretaj (D&C) bagi membersihkan rahim memandangkan saiz kandungan yang sudah membesar.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan reda dengan ketentuan Ilahi dan menyifatkan ia belum lagi rezeki buat dirinya dan keluarga.
Bagaimanapun tidak menolak untuk mencuba lagi pada masa akan datang, namun kini memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.

“Saya kena buat d&c (cuci) sebab baby A dah besars, juga bukan rezeki kami lagi.
“Insya-Allah akan cuba lagi di tahun-tahun akan datang, sekarang sama-sama fokus kerja dulu,” jelasnya.
Fasha turut menitipkan kata-kata semangat buat wanita yang pernah melalui pengalaman sama agar tidak berasa terlalu sedih atau kecewa.
Menurutnya, keupayaan untuk hamil secara semula jadi juga merupakan satu anugerah yang patut disyukuri, dan setiap orang mungkin mempunyai rezeki yang berbeza.
“Kepada yang sama mengalami macam Fasha, jangan rasa down, dapat hamil secara natural pun satu anugerah juga. Mungkin ada rezeki lain untuk kita,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Aidil Aziz pilih kunci mulut, enggan ulas isu Fasha Sandha tanggal tudung dalam drama
Fasha juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dirinya serta keluarga dan berharap segala doa yang baik kembali kepada mereka.
Sumber: Instagram fashasandha






