Adam Edelman (duduk dalam bulatan) secara terbuka menyatakan dirinya sebagai Zionis dan menyokong pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza. Foto Agensi
SEORANG pengulas sukan Switzerland mendedahkan tindakan seorang atlet pasukan bobsled Israel yang didakwa menyokong pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza ketika siaran langsung baru-baru ini.
Pengulas Swiss Radio and Television (RTS), Stefan Renna mendedahkan bahawa Adam Edelman yang bersaing di temasya Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina, Itali secara terbuka menyatakan bahawa dirinya sebagai seorang Zionis.
Renna turut mendedahkan Edelman pernah memuat naik beberapa hantaran di media sosial yang menyokong tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Semasa membuat ulasan tersebut, Renna turut merujuk kepada penggunaan istilah genosid oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan situasi di Gaza, sambil menyatakan bahawa beliau memahami konteks penggunaan istilah tersebut.
Menurutnya, Edelman pernah menggambarkan operasi ketenteraan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza sebagai perang paling bermoral dan adil dalam sejarah.
Dalam pada itu, Renna turut mempersoalkan bagaimana Edelman dibenarkan beraksi pada Olimpik Musim Sejuk 2026 sedangkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum ini menyatakan bahawa atlet yang secara terbuka menyokong peperangan tidak akan dibenarkan bertanding sepertimana yang berlaku ke atas beberapa atlet Rusia kerana menunjukkan sokongan terhadap perang negara mereka ke atas Ukraine.
Beliau juga mempersoalkan ketidakkonsistenan keputusan itu apabila atlet skeleton Ukraine, Vladyslav Heraskevych disingkirkan daripada temasya sama susulan keputusannya memakai helmet bagi memperingati rakan senegara yang terkorban dalam peperangan dengan Rusia.
Ringkasan AI
- SEORANG pengulas sukan Switzerland mendedahkan atlet bobsled Israel menyokong tindakan ketenteraan di Gaza
- Adam Edelman menyatakan dirinya sebagai seorang Zionis dalam siaran langsung Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina, Itali
- Edelman muat naik hantaran media sosial yang menyokong tindakan Israel di Gaza
- Pengulas merujuk istilah genosid oleh PBB berkaitan situasi di Gaza
- Renna mempersoalkan keputusan membenarkan Edelman bertanding di Olimpik sedangkan atlet yang menunjukkan sokongan terhadap perang biasanya tidak dibenarkan






