am@hmetro.com.my
Melaka: Menjelang Ramadan yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan, ibu kepada empat anak ini diuji dengan kehilangan suami tercinta dalam kemalangan jalan raya yang tular minggu lalu.
Suaminya, Allahyarham Mohd Dhahrol Anuar Md Roby, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Myvi ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak bongsu mereka.
Siti Hasmah Abdul Hamid, 43, berkata, kehilangan itu ibarat hilang sayap dalam meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi Ramadan yang menjelang esok.
Menurut kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka itu, arwah bukan sahaja mencari nafkah, malah mengurus hampir keseluruhan hal ehwal keluarga termasuk menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah walaupun berbeza lokasi.
“Dia bukan sekadar suami, dia tulang belakang keluarga. Semua urusan rumah tangga dia ambil tanggungjawab.
“Tak pernah sekali pun dia merungut, apa saja untuk anak-anak, dia buat dengan ikhlas” katanya selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka di kediamannya di Kampung Solok Bukit Baru Duyong.
Dia berkata, arwah mengusahakan sebuah kedai makan namun setiap kali Ramadan, premis itu tidak beroperasi.
Sebaliknya, arwah akan bersungguh-sungguh menyediakan beras dan kelengkapan bagi menerima tempahan ketupat palas sebagai pendapatan tambahan keluarga.
“Namun tahun ini ada sesuatu yang berbeza, selalunya dia paling beriya urus tempahan ketupat palas, tetapi kali ini dia nampak kurang bersemangat.
“Saya tak sangka Ramadan tahun lalu adalah yang terakhir kami bersama,” katanya sayu.
Siti Hasmah berkata, kehilangan itu bukan sahaja dirasai dirinya, malah anak-anak turut terkesan terutama anak bongsunya yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan.
Katanya, anaknya itu mula bertanya siapa yang akan menghantarnya ke sekolah selepas ini, memandangkan sebelum ini arwah yang menguruskan segala keperluannya.
“Soalan dia sangat ringkas, tetapi sangat berat untuk saya jawab,” katanya.
Menurutnya, setiap petang anak bongsunya, Izzat, 10, akan ke kedai makan arwah untuk meluangkan masa bersama bapanya sebelum arwah menyediakan makanan kegemarannya, terutama kuetiau goreng yang dimasak sendiri.
“Selalunya petang dia pergi kedai, arwah mesti masak makanan untuk dia.
“Sekarang semua itu cuma tinggal kenangan dan takkan kembali lagi,” katanya.
Dia mengakui tidak bersedia untuk kehilangan itu apatah lagi anak-anak mereka yang berusia antara 10 hingga 18 tahun termasuk seorang anak autisme masih memerlukan perhatian dan bimbingan seorang bapa.
Walaupun arwah bukan lepasan tahfiz, katanya, suaminya sentiasa menanam minat anak-anak terhadap pendidikan agama.
Katanya, anak kedua kini menuntut di madrasah manakala anak ketiga mengikuti aliran agama di sebuah sekolah menengah kebangsaan.
“Dia selalu pesan, kalau bukan kita yang beri asas agama kepada anak-anak, siapa lagi,” katanya.
Lebih memilukan, keluarga itu sepatutnya menyambut Aidilfitri tahun ini dengan pakaian sedondon warna ‘rich brown’ yang dibeli lebih awal.
“Saya beli awal supaya tak kelam-kabut, arwah suami tak kisah warna apa pun, cuma dia pesan jangan pilih warna terlalu gelap sebab katanya tak sesuai dengan kulit dia,” katanya.
Menurutnya, dia masih belajar menerima takdir dan menyesuaikan diri menguruskan keluarga tanpa insan yang selama ini menjadi tempat bergantung.
“Saya tak tahu macam mana saya nak bangun sepenuhnya, tapi saya sedang belajar untuk reda.
“Anak-anak perlukan saya, demi mereka, saya kena kuat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




