Parti Pribumi BERSATU menafikan dakwaan bahawa beberapa bahagian parti itu terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasanya, menegaskan bahawa tindakan itu tidak berasas dan bercanggah dengan perlembagaan parti.
Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan dan pautan media sosial yang mendakwa BERSATU Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan adalah tidak benar.
“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti, termasuk ketua bahagian, untuk membubarkan bahagian.
“Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti,” katanya.

Azmin nafi empat bahagian BERSATU dibubarkan
Tiga hari lalu, Timbalan Ketua BERSATU Larut, Mohd Noh Md Daud memaklumkan bahawa 48 cawangan di bawah bahagian itu mengisytiharkan pembubaran kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keputusan itu dikatakan turut dipengaruhi pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainudin, dan Ketua BERSATU Larut, Mohd Hassundi Hamzah.

Sementara itu, Ketua BERSATU Lembah Pantai, Muqharabbin Mokhtarrudin menegaskan keputusan untuk membubarkan bahagian itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan surat makluman rasmi akan dihantar ke ibu pejabat parti.
Tambah Azmin, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 14 Februari lalu telah mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada kepimpinan negeri untuk memantau setiap bahagian dan mengenal pasti langkah pemulihan bagi bahagian yang bermasalah.
Tegas beliau, BERSATU Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong tetap wujud mengikut perlembagaan parti dan MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan sedia ada.
Artikel lain: Tuan Ibrahim tegaskan PAS tak campur konflik BERSATU, nafi cuba ‘kenakan’ Muhyiddin
Kemelut dalaman parti turut memuncak dengan pemecatan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin, bersama 16 lagi pemimpin termasuk ahli MPT, Anggota Parlimen, ADUN, dan ketua bahagian di seluruh negara.

Antara yang dipecat ialah ahli MPT dan Anggota Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Gerik, Fathul Huzir Ayob; dan Padang Rengas, Azahari Hasan.
Dua ADUN, sembilan ketua bahagian serta pemimpin Srikandi Muda dan Ketua Penerangan turut menerima nasib yang sama, menandakan perubahan besar dalam struktur kepimpinan parti.
Sumber: Malaysiakini






