Insentif Airbnb dinaikkan menjelang Piala Dunia 2026

Insentif Airbnb dinaikkan menjelang Piala Dunia 2026


San Francisco: Platform sewaan penginapan, Airbnb menawarkan insentif AS$750 (RM2925) bagi menarik hos baharu di 16 bandar di Amerika Utara yang bakal menerima jutaan pengunjung sempena Piala Dunia 2026 pertengahan tahun depan.

Hos baharu kategori ‘keseluruhan rumah’ yang berjaya melengkapkan tempahan pertama sebelum 31 Julai layak menerima bayaran berkenaan, yang disifatkan sebagai insentif terbesar pernah ditawarkan syarikat itu.

Bulan lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan lebih 500 juta permohonan tiket diterima sepanjang tempoh 33 hari, sekali gus menggambarkan lonjakan luar biasa terhadap temasya yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico itu.

Permintaan penginapan turut melonjak, dengan harga sewaan percutian meningkat sehingga 50 peratus pada hari perlawanan di beberapa bandar tuan rumah, menurut firma data pelancongan AirDNA.

Airbnb menjangkakan hos di kawasan New York-New Jersey, Boston dan Los Angeles bakal meraih pendapatan tertinggi sepanjang kejohanan, dengan anggaran melebihi AS$5,000 (RM19,500) bagi setiap hos.

Selain tiga negara penganjur, permohonan tiket paling banyak diterima dari Jerman, England, Brazil, Sepanyol, Portugal, Argentina dan Colombia.

Kejohanan itu juga dijangka memberi rangsangan kepada sektor pelancongan antarabangsa AS yang mencatat penurunan 5.4 peratus sehingga November 2025 menurut Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top