Isyarat awal ke Glasgow 2026

Isyarat awal ke Glasgow 2026


 

MALAYSIA muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 selepas mengungguli kesemua empat acara pada hari terakhir saingan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

 

Dalam kejohanan yang dijalankan mengikut format rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu, skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih, Fairul Izwan Abd Muin membuktikan penguasaan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

 

Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar membuka tirai kejayaan Malaysia selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Cheryl Chan-Helen Cheung 2-1 dalam final beregu wanita.

 

Kejayaan kem negara seterusnya hadir menerusi kemenangan wakil Malaysia B, Nor Farah Ain Abdullah yang menjuarai perseorangan wanita selepas mengatasi Nayanmoni Saikia dari India 2-1.

 

Gandingan beregu lelaki Malaysia B, Muhammad Naufal Azmi-Fadley Jabal menambah keceriaan kem negara selepas menundukkan Alex Brennan-Trystan Smallacombe dari Wilayah Utara Australia 2-1 sebelum wakil perseorangan lelaki Malaysia A, Izzat Shameer Dzulkeple melengkapkan kejayaan apabila mengatasi Shannon McIlroy dari New Zealand Silver 2-1 dalam final perseorangan lelaki.

 

Berdasarkan kutipan mata, Malaysia B dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul 25 mata, diikuti Malaysia A di tempat kedua, manakala New Zealand Silver di kedudukan ketiga dengan 24 mata.

 

Fairul Izwan berkata, kejohanan ini menjadi titik permulaan penting dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026, sambil mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi dan dipertingkatkan.

 

“Sejujurnya, saya berpuas hati tetapi pasukan A adalah pasukan yang disasarkan sebagai juara pada asalnya, namun berlaku sebaliknya. Bagaimanapun, ia masih dalam sasaran kami iaitu muncul juara keseluruhan kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

 

Sementara itu, Nor Farah Ain berkata, beliau dapat menyesuaikan diri dengan format kejohanan kali ini termasuk pelaksanaan sistem pemasa.

 

“Saya pernah bermain dalam format ini sebelum ini. Bagi saya, pemasa dan tempoh masa 30 saat sebenarnya okey, selain perlawanan menjadi lebih cepat,” kata atlet berusia 25 tahun itu.

 

Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 yang membariskan Malaysia, New Zealand, India, Hong Kong, Singapura dan Wilayah Utara Australia turut menjadi platform persediaan awal serta medan pemilihan skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel 2026 pada Julai depan.

 

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. – Bernama

 

Ringkasan AI

  • MALAYSIA muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 selepas mengungguli kesemua empat acara
  • Skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih, Fairul Izwan Abd Muin membuktikan penguasaan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita
  • Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar membuka tirai kejayaan Malaysia selepas menewaskan pasangan Hong Kong
  • Malaysia B dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul 25 mata, diikuti Malaysia A di tempat kedua, manakala New Zealand Silver di kedudukan ketiga dengan 24 mata
  • Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara turut menjadi platform persediaan awal serta medan pemilihan skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel 2026



Source link

OR

Scroll to Top