Baitulmaqdis: Israel menetapkan 10,000 jemaah Palestin dibenar untuk menghadiri solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur sepanjang bulan suci Ramadan.
Difahamkan, pihak berkuasa Israel turut mengenakan sekatan kemasukan ke kawasan masjid itu dengan hanya membenarkan lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas dan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun.
Agensi kementerian pertahanan Israel yang mengendalikan hal ehwal awam di wilayah Palestin, COGAT berkata, 10,000 jemaah Palestin akan dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan, tertakluk kepada mendapatkan permit harian khas terlebih dahulu.
“Kemasukan bagi lelaki akan dibenarkan bermula umur 55 tahun, bagi wanita bermula umur 50 tahun dan bagi kanak-kanak sehingga umur 12 tahun apabila ditemani oleh saudara,” katanya.
Sepanjang Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin secara tradisinya menghadiri solat di Masjid Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam yang terletak di Baitulmaqdis Timur.
Rejim Israel menawan Baitulmaqdis Timur pada 1967 dan kemudian mengilhaknya dalam langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pihak berkuasa Israel menghalang Waqf Islam daripada menjalankan persiapan rutin menjelang Ramadan termasuk memasang struktur teduhan dan menyediakan klinik perubatan sementara.
Imam kanan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad al-Abbasi berkata, beliau dihalang daripada memasuki kawasan masjid itu selama seminggu dan perintah itu boleh diperbaharui.
“Saya tidak dimaklumkan mengenai sebab larangan itu yang berkuat kuasa mulai 16 Februari,” katanya.
Di bawah pengaturan lama, orang Yahudi dibenarkan melawat kawasan Al-Aqsa yang mereka dakwa sebagai tapak kuil Yahudi pertama dan kedua tetapi tidak dibenarkan beribadat di situ.
Israel berkata, ia komited untuk mengekalkan status quo itu walaupun rakyat Palestin bimbang ia sedang terhakis.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai golongan ultranasionalis Yahudi mencabar larangan itu termasuk ahli politik sayap kanan, Itamar Ben-Gvir, ketika dia berkhidmat sebagai menteri keselamatan negara pada 2024 dan 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd






