Dua kanak-kanak didera, ibu bapa angkat sudah didakwa

Dua kanak-kanak didera, ibu bapa angkat sudah didakwa



am@hmetro.com.my

Georgetown: Dua kanak-kanak berstatus anak angkat yang tular selepas didakwa menjadi mangsa dera di Pulau Pinang sudah diselamatkan dan kini berada dalam perlindungan penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejak Ogos lalu.

Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata, kanak-kanak terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan yang berusia 13 tahun itu diselamatkan selepas menerima laporan daripada pihak berkuasa dan sudah menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kes ini adalah kali kedua. Sehubungan dengan itu, demi menjamin kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak ke arah yang lebih baik, maka disyorkan mereka ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak.

“Oleh itu, kanak-kanak akan dibawa ke mahkamah pada 10 Oktober ini untuk mendapatkan perintah tetap bagi ditempatkan di institusi JKM,” katanya di sini, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya turut mendapati kedua-dua mangsa yang tidak mempunyai pertalian saudara kandung yang tinggal bersama ibu bapa angkat mereka di Paya Terubong, Ayer Itam sudah diberhentikan persekolahan pada Jun lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan, berikutan kes terbaharu itu, ibu angkat mangsa yang berusia 65 tahun dan suaminya berumur 64 tahun dan bekerja sebagai kontraktor sudah dihadapkan ke mahkamah.

Sebagai rekod kes membabitkan mangsa pernah dirujuk ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Georgetown pada 25 Ogos 2022 sebelum kedua-duanya ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Perak.

Namun, pada Februari 2023, kanak-kanak berkenaan dikatakan berhasrat dan bersetuju untuk pulang dan tinggal bersama ibu bapa angkat mereka.

Dalam hal ini, ibu bapa angkat mereka telah mendapatkan perintah menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan sepatutnya di bawah Perenggan 30(1)(a) dan 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 selama setahun.

Mereka turut perlu melaporkan diri kepada Pelindung Kanak-Kanak Daerah Timur Laut setiap tiga bulan sekali dalam tempoh tersebut dan kanak-kanak berkenaan didapati berada dalam keadaan baik sepanjang seliaan dijalankan.

Bagaimanapun Zakaria berkata, dalam kejadian kali kedua, pihaknya mendapati dua remaja itu perlu ditempatkan di institusi JKM demi menjamin keselamatan serta kebajikan mereka selain kedua-duanya sudah diberi kaunseling.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top