Penyanyi berbakat besar, Aisha Retno mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan dia pernah menerima ugutan bunuh sepanjang enam tahun bergelar anak seni.
Kata Aisha, semenjak bergelar anak seni pelbagai komen positif dan negatif diterimanya setiap kali membuat persembahan di atas pentas, namun dia memilih untuk menerima dan tidak terlalu memikirkan kecaman tersebut.
Ini kerana, Aisha atau nama lengkapnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, menganggap ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Selama 6 tahun dalam industri pelbagai komen saya terima sebaik sahaja melakukan persembahan di atas pentas. Buruk atau baik saya baca dan hadam.
“Industri muzik begitu banyak membentuk saya agar tidak terlalu terkesan dengan kecaman mahupun pujian. Saya jadikan semua itu sebagai motivasi untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.
“Malah, saya sendiri tidak pernah menyesal dengan usaha yang dilakukan walaupun kita sebagai manusia tidak lari daripada melakukan kekurangan,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Bagaimanapun, Aisha mengakui dia bukanlah ‘kebal’ dan mampu menepis kata-kata negatif daripada netizen.
Malah, pelantun lagu Sutera itu menegaskan, kata-kata yang ditinggalkan di media sosial sedikit sebanyak memberi kesan mendalam terhadap mental seseorang.
“6 tahun dalam industri, saya cuba untuk menjadi manusia ‘kebal’, tapi kadang-kadang saya juga terkesan dengan komne-komen negatif yang diberikan seperti body shaming, face shaming bahkan pernah menerima ugutan bunuh. Pada akhirnya, kita telaahi/ belajar apa yang orang kata, those screenshots of comments (only for this ocassion) truly somehow has discouraged me in a sense that i tend to overthink to what people may or might think if i showed up on every award shows doing performances like this.
“Kata-kata boleh melukakan dan sangat mematahkan semangat. Kalau mental seseorang tidak cukup kuat, dia mungkin berhenti melakukan apa yang paling dia cintai.
“Mungkin orang menganggap saya sensitif tapi ini demi menjaga bakat-bakat dalam industri kita,” jelasnya.
Tidak habis disitu, Aisha turut berkongsi beberapa komen yang ditinggalkan warganet terhadap dirinya.







