Semakan cukai tanah dibuat selepas hampir 30 tahun – KM Pulau Pinang

Semakan cukai tanah dibuat selepas hampir 30 tahun – KM Pulau Pinang

Semakan cukai tanah dibuat selepas hampir 30 tahun – KM Pulau Pinang


am@hmetro.com.my

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan bahawa pelaksanaan semakan kadar cukai tanah berkuat kuasa pada 2026 serta pewartaan 25 bandar baharu dibuat mengikut undang-undang dan perkembangan semasa negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata semakan kali terakhir dilakukan pada 1994 dan dilaksanakan pada 1996 iaitu hampir 30 tahun lalu.

Menurutnya, Pulau Pinang adalah antara negeri terakhir di Semenanjung belum melaksanakan semakan cukai tanah setiap 10 tahun sebagaimana peruntukkan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dengan beberapa kawasan tanah desa dinaik taraf kepada 25 bandar baharu seperti diumumkan September lalu.

“Pewartaan 16 bandar meliputi sebahagian kawasan Georgetown, Jelutong, Ayer Itam, Gelugor, Bukit Bendera, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong, Batu Ferringhi, Balik Pulau, Bayan Lepas, Kepala Batas, Butterworth, Prai, Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Nibong Tebal dilaksanakan pada 1966 iaitu hampir 60 tahun lalu.

“Akibat ketiadaan semakan cukai tanah dan pewartaan bandar baharu dalam tempoh masa yang panjang, jurang kadar cukai tanah antara kawasan Desa dan kawasan Bandar di Pulau Pinang menjadi semakin besar dan tidak saksama.

“Hakikatnya, seluruh negeri kini menyaksikan pembangunan pesat dengan pembukaan pusat-pusat bandar serta kawasan perindustrian baharu menyebabkan sebahagian besar kawasan Pulau Pinang kini setara dalam semua aspek pembangunan ekonomi, sosial dengan kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chow berkata demikian menjawab kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang berhubung semakan cukai tanah dan proses klasifikasi semula tanah desa kepada tanah bandar yang memberi impak berganda kepada kenaikan kadar cukai tanah serta rayuan pengurangan kadar cukai yang tidak jelas dan telus seperti dilapor media kelmarin.

Tambahnya, semakan cukai tanah itu turut bertujuan mengurangkan jurang kadar cukai antara pemilik tanah di kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam, Bandar Cassia dan Bandar Tasik Mutiara yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tanah desa berbanding pemilik tanah di Butterworth, Bukit Mertajam, Jelutong dan Balik Pulau yang telah lama berstatus tanah bandar.

Mengulas kebimbangan kenaikan mendadak cukai, beliau berkata, kerajaan negeri memperkenalkan rebat 50 peratus bagi mengawal kesan kenaikan dan mengurangkan beban pemilik tanah.

“Selain itu, asas rayuan turut ditambah baik dan diumumkan pada 15 Februari lalu dengan lebih 350 permohonan rayuan kini sedang diteliti oleh Pentadbir Tanah di setiap daerah,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top