Neymar beri bayangan gantung but

Neymar beri bayangan gantung but


Rio de Janeiro: Bekas kapten Brazil, Neymar, mengakui sedang mempertimbangkan untuk menamatkan karier pada hujung tahun ini susulan dibelenggu kecederaan, namun tetap menyimpan harapan beraksi di Piala Dunia terlebih dahulu.

Bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, pada Januari 2025 dari kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Selepas musim pertama yang terganggu akibat kecederaan, Neymar melanjutkan kontrak sehingga hujung 2026, namun terlepas aksi awal musim Brazil pada Januari selepas menjalani pembedahan lutut pada hujung Disember.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, saya juga tidak pasti tentang tahun depan.

“Mungkin apabila Disember tiba, saya mahu bersara. Sekarang saya jalani kehidupan tahun demi tahun,” katanya kepada saluran dalam talian Brazil, Caze.

Dia membuat kemunculan semula sebagai pemain gantian babak kedua dalam aksi Kejuaraan Sao Paulo pada 16 Februari, 11 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

“Sudah tentu saya mahu kembali membantu pasukan sebaik mungkin, tetapi saya perlu memperlahankan sedikit rentak supaya dapat kembali pada tahap 100 peratus,” katanya.

Neymar adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, dua gol lebih banyak berbanding Pele, namun tidak lagi beraksi bersama skuad kebangsaan sejak Oktober 2023 selepas mengalami kecederaan lutut serius ketika menentang Uruguay.

Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, tidak memanggil Neymar sejak mengambil alih pasukan pada Mei lalu.

“Tahun ini sangat penting, bukan saja untuk Santos, tetapi juga untuk skuad kebangsaan Brazil kerana ia tahun Piala Dunia, dan juga buat saya sendiri. Ia satu cabaran besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top