Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice selepas peluang diberikan untuk membuat permohonan maaf tidak diendahkan.
Rafizi berkata, kandungan yang dimuat naik Caprice disifatkan sebagai cubaan menuduh beliau mempunyai kepentingan manfaat dalam syarikat miliknya, Invoke Solutions Sdn Bhd.
“Pertanyaan yang berbentuk tuduhan atau sindiran tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan undang-undang di bawah undang-undang fitnah.
“Sebaliknya, elemen seperti innuendo dan sindiran tersirat juga boleh diambil kira oleh mahkamah dalam menilai sama ada sesuatu kenyataan itu fitnah atau tidak,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) bersama moderator Haziq Azfar Ishak, malam tadi.

Rafizi Ramli nekad saman Caprice
Sebelum ini, media melaporkan Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial serta memohon maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.
Ia susulan hantaran Rafizi berhubung tuduhan Caprice berkaitan kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan dirinya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion mahupun sebarang perkataan rasuah dalam video yang dimuat naik di media sosial.
Artikel lain: Caprice hadiah sejambak bunga buat Rafizi, ajak berdamai -“Kami hanya tanya soalan..”
Mengulas lanjut, Rafizi berkata bukti yang ditunjukkan memberi peluang besar kepadanya untuk memenangi saman tersebut kerana tiada sebarang elemen yang membuktikan wujud konflik kepentingan.
“Elemen yang perlu dilihat ialah adalah adakah rasuah itu berlaku, terdapat pemberi dan penerima dan campur tangan.
“Kalau betul saya menerima rasuah, sudah lama saya ke dalam penjara. Tapi sampai sekarang tidak berlaku pun. Saya yakin Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) memantau setiap hari,” katanya.

Menurutnya, ahli perniagaan yang dikaitkan itu hanya dikenali selepas beliau tidak lagi terlibat dalam dunia politik dan hubungan mereka sekadar melibatkan urusan profesional sebagai klien yang memerlukan kepakaran pasukan Invoke Solutions Sdn Bhd.
“Manakala menerusi bukti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ditunjukkan, ia sebenarnya adalah ‘preference share’ iaitu dalam bentuk pinjaman, bukannya saham.

“Untuk Caprice kata ini adalah saham berkepentingan, adalah salah sama sekali kerana mereka hanyalah klien saja. Invoke ada banyak klien, kalau macam itu, habislah semuanya ada kepentingan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berpandangan isu berkenaan sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian daripada perkara lain yang lebih besar.
“Taktik ini sebenarnya untuk kurangkan masa dan tenaga ditumpukan kepada Azam Baki. Tapi mereka tidak tahu, saya mempunyai banyak ‘lemak’ untuk tumpukan kepada kes berkenaan,” katanya merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Sumber: YouTube Mohd Rafizi bin Ramli






