am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang anggota tentera ketika mengikuti kursus kru Armor Kelas 1 di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi menyiasat secara menyeluruh berhubung kematian Truper K Indiran, 22.
“Saya difahamkan autopsi baru dibuat pagi ini, namun saya belum dapat laporan, cuma setakat ini memang tiada unsur penderaan, buli dan sebagainya.
“Saya percaya ia memang akan dibuat (jawatankuasa khas) untuk menjalankan siasatan dalaman dan menyeluruh,” katanya ketika sidang media selepas Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.
Mohamed Khaled turut mengingatkan supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak mempolitikkan insiden berkenaan.
Ia kerana adanya gesaan dari MIC Pulau Pinang untuk melakukan bedah siasat kali kedua terhadap mayat anggota tentera itu.
“Baru selesai bedah siasat hari ini, macam mana nak buat yang kedua pula. Janganlah dipolitikkan isu begini, biarlah pihak berkuasa siasat betul-betul dahulu,” katanya.
Rabu lalu, Indiran yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang.
Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.
Ibu Indiran, S Usha, 52, dilaporkan berkata, dia menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anak sulungnya itu akibat dibuli atau penderaan hingga mencemarkan nama baik ATM.
© New Straits Times Press (M) Bhd





