amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Terdapat pelbagai aspek mempengaruhi perlakuan kes jenayah termasuk bunuh yang membabitkan ahli keluarga terdekat.
Penganalisis jenayah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Zaim Ahmad berkata, secara umumnya ahli keluarga adalah individu yang paling hampir dan dianggap paling memahami keadaan emosi, tekanan serta latar belakang seseorang.
Namun begitu, katanya, dalam realiti kes jenayah terdapat situasi di mana ahli keluarga sendiri tidak dapat mengenal pasti sebab atau punca sebenar berlakunya sesuatu kejadian sehinggalah siasatan terperinci selesai dijalankan.
“Dalam konteks semasa di Malaysia, kes seumpama ini dilihat menunjukkan kecenderungan peningkatan, malah terdapat insiden yang membabitkan lebih daripada seorang mangsa dalam satu kejadian.
“Trend ini amat membimbangkan kerana berpotensi menandakan perubahan pola jenayah yang semakin kompleks dan berisiko tinggi.
“Dari perspektif kriminologi, saya berpendapat sesuatu jenayah lazimnya berlaku apabila pelaku membentuk niat terhadap sesuatu tindakan.
“Niat ini boleh diterjemahkan melalui perlakuan yang bersifat spontan, separa dirancang atau dirancang sepenuhnya.
“Dalam kebanyakan kes, terdapat petunjuk awal yang boleh diperhatikan melalui perubahan tingkah laku, komunikasi, emosi, atau corak interaksi sosial pelaku,” katanya.
Menurutnya, petunjuk awal berdasarkan perubahan itu menunjukkan bahawa unsur niat sudah mula terbina secara dalaman, namun tindakan sebenar biasanya hanya berlaku apabila tercetus peristiwa pencetus (trigger event) seperti pertengkaran serius, tekanan melampau, konflik berpanjangan atau situasi yang menimbulkan letupan emosi.
Beliau berpandangan, secara umumnya terdapat beberapa faktor utama yang sering dikaitkan dengan perlakuan jenayah ini menurut kerangka kriminologi, antaranya tekanan hidup, konflik domestik serta isu kesihatan mental.
Bagaimanapun, katanya, daripada sudut penyiasatan pihak berkuasa, terdapat juga faktor tambahan boleh mempengaruhi kejadian, bergantung kepada latar belakang pelaku dan mangsa, sejarah hubungan, keadaan persekitaran serta situasi semasa yang berlaku sebelum insiden.
“Faktor-faktor ini penting kerana ia memberikan gambaran menyeluruh terhadap motif dan dinamika sebenar sesuatu kes.
“Dalam analisis kriminologi, pembunuhan sering berlaku apabila pelaku mula melihat keganasan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap tekanan atau konflik yang dihadapi.
“Pada tahap ini, pelaku cenderung menolak pendekatan rasional serta mekanisme penyelesaian konflik yang konstruktif.
“Dalam konteks kekeluargaan, keadaan menjadi lebih kritikal apabila pelaku merasakan hubungan keluarga sudah hilang nilai emosi dan moral, lalu mencetuskan konflik dalaman yang mendalam,” katanya.
Zaim berkata, walaupun perubahan tingkah laku pelaku sebenarnya boleh dikesan lebih awal, keberkesanan pencegahan sangat bergantung pada sejauh mana ahli keluarga atau persekitaran terdekat mampu mengenal pasti pelbagai petanda sebagai amaran awal dan bertindak sebelum niat berkembang menjadi tindakan.
Mengulas lanjut, katanya, antara perubahan yang lazim diperhatikan termasuk peningkatan konflik interpersonal, tekanan emosi melampau, permusuhan antara ahli keluarga, ancaman melalui komunikasi, perubahan status ekonomi, serta pengasingan sosial.
“Faktor-faktor ini boleh melemahkan ikatan kekeluargaan secara beransur-ansur dan akhirnya meningkatkan risiko berlakunya tindakan agresif yang serius.
“Jenayah sebegini agak kompleks, bagaimanapun sudah tiba masanya pihak berwajib melihat kepentingan kepada fenomena jenayah ini dan memberi perhatian kepada trend yang makin berkembang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






