firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menjelang keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis ini, tumpuan bukan sahaja terarah kepada skuad Harimau Malaya, malah turut membabitkan kedudukan tujuh pemain negara bersama kelab masing-masing.
Peguam Sukan dan Komersial, Nik Erman Nik Roseli, berkata sekiranya keputusan CAS tidak memihak kepada pemain, persoalan utama yang timbul adalah berkaitan status kelayakan mereka bukan sahaja di peringkat antarabangsa, tetapi juga bersama kelab dalam saingan domestik dan benua seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bergantung kepada skop keputusan itu.
Menurutnya, jika rayuan ditolak dan CAS mengekalkan keputusan asal bahawa pemain tidak layak, implikasinya boleh melangkaui skuad kebangsaan.
“Saya berpendapat jika rayuan ditolak, perlawanan di mana pemain bermain akan dikira ‘forfeit’.
“Walaupun CAS memberi ‘stay’, ia tiada kuasa memberi kelayakan kepada pemain-pemain yang memang tidak layak ‘in the 1st place’. Jika CAS menolak rayuan, ini bermakna pemain tidak layak mewakili Malaysia.
“Jadi, jika pemain memang tidak layak bermain, ‘stay of execution’ itu tidak boleh memberi sesuatu kelayakan yang pemain tidak pernah ada,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesan terhadap kelab bergantung kepada bentuk dan had keputusan yang dikeluarkan CAS.
Jika keputusan hanya menyentuh kelayakan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, maka status mereka bersama kelab dalam liga tempatan mungkin tidak terjejas, tertakluk kepada peraturan pertandingan dan pendaftaran pemain.
“Bagi perlawanan di mana pemain-pemain bermain tetapi tidak bergantung kepada kerakyatan Malaysia (tiada isu kuota), perlawanan itu, masih sah,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nik Erman turut melihat ruang hujah yang boleh diketengahkan sekiranya timbul pertikaian terhadap keputusan perlawanan lampau.
“Tetapi jika saya peguam pemain, saya akan berhujah bahawa keputusan perlawanan harus dikekalkan kerana pada masa mereka bermain (bersama kelab), mereka tiada sekatan. Dan oleh itu, jika sekalipun rayuan ditolak, pada masa bermain, pemain-pemain tiada sekatan untuk bermain,” katanya lagi.
Khamis ini bukan sekadar menentukan nasib tujuh pemain bersama Harimau Malaya, malah berpotensi memberi kesan tidak langsung kepada kelab yang mereka wakili khususnya dari sudut pentafsiran kelayakan dan pematuhan peraturan pertandingan.
Untuk rekod, tiga daripada tujuh pemain iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kembali beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana kehadiran trio berkenaan membawa impak positif apabila berjaya membantu kelab ke pusingan 16 terbaik ACLE untuk menentang Vissel Kobe, pada 4 dan 11 Mac depan.
Selain itu, Facundo Garces turut menjadi tulang belakang kepada kebangkitan kelabnya, Deportivo Alaves di Sepanyol sementara Gabriel Palmero kini sah beraksi bersama Kuching City FC dalam saingan Liga M.
© New Straits Times Press (M) Bhd






