Paitan: Sebanyak empat unit peranti satelit Starlink diserahkan kepada pejabat daerah di sini bagi membantu memulihkan capaian komunikasi di beberapa kawasan terjejas banjir baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata kemudahan berkenaan disediakan oleh SabahNet Sdn Bhd (SabahNet) iaitu sebuah agensi di bawah kementeriannya sebagai langkah segera memastikan akses komunikasi di kawasan terjejas dapat dipulihkan.
“Inisiatif ini bertujuan memudahkan penyelarasan bantuan, penyampaian maklumat serta menyokong operasi pengurusan bencana dan pemulihan pascabanjir.
“Peranti berkenaan diserahkan kepada Pegawai Daerah Paitan Joloning Joe Majambu untuk penyelarasan dan penempatan di lokasi yang dikenal pasti memerlukan capaian Internet segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kemudahan itu diharapan dapat mempercepat proses pemulihan dan memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat yang terjejas terus diberi perhatian.
© New Straits Times Press (M) Bhd






