DULU tidak ramai artis Hollywood beragama Islam yang terbuka bercakap tentang kepercayaan mereka disebabkan menebalnya sentimen anti Islam di Barat.
Namun, sekarang berbeza. Ramai penyanyi, lebih-lebih lagi yang berkecimpung dalam arena muzik Hip Hop dan R&B, tidak menyembunyikan identiti mereka sebagai Muslim.
Berikut empat rapper tersohor yang terbuka berkongsi identiti Islam mereka kepada dunia.
KEVIN GATES
Rapper kelahiran Baton Rouge, Louisiana, Amerika Syarikat ini tidak menyembunyikan identiti sebagai Muslim kerana secara terbuka memaklumkan secara serius mengamalkan gaya hidup sebagai penganut Islam bermula 2012.
Bahkan, Gates yang popular dengan lagu 2 Phones, Really Really dan I Don’t Get Tired ini terbuka membicarakan tentang agamanya menerusi beberapa sesi wawancara sebelum ini.
Gates atau nama Islamnya, Issa berkesempatan terbang ke Mekah pada 2016 untuk mengerjakan umrah. Beliau mendokumentasikan perjalanan itu menerusi media sosialnya.
FRENCH MONTANA
Karim Kharbouch atau French Montana mengikuti keluarganya berpindah dari Maghribi ke Amerika Syarikat ketika dia berusia 13 tahun.
Pengiktirafan sebagai artis kelahiran Afrika dengan jumlah penstriman tertinggi menjadikan kedudukannya sebaris rapper berpengaruh dunia.
Berusia 41 tahun, French Montana juga antara artis Amerika yang tidak pernah menyembunyikan statusnya sebagai penganut Islam.
Malah dalam beberapa sesi temu bual sebelum ini beliau bercakap tentang amalan ketika Ramadan dan bagaimana Islam menjadi pelindung sepanjang pembabitannya dalam arena muzik Amerika yang mencabar.
ICE CUBE
O’Shea Jackson atau Ice Cube memeluk agama Islam sekitar tahun 1992.
Rapper bertaraf legenda itu pernah menceritakan kepada pengacara Dan Rather tentang sebab beliau menukar agama.
“Kepercayaan yang diajarkan ketika membesar tidak serasi dengan jiwa saya.
“Tetapi berlainan pula dengan Islam yang ibarat pakaian yang ditempah untuk saya,” katanya.
SZA
Solana Imani Rowe membesar dibawah jagaan ibu bapa yang mengamalkan agama berbeza.
Ibunya, Audrey merupakan penganut Kristian manakala bapanya, Abdul beragama Islam.
Sza mengenakan hijab ketika sekolah. Bagaimanapun dia menukar penampilan kepada tidak berhijab selepas 11 September 2001 kerana khuatir menjadi sasaran pembenci Islam.
Rapper ini bagaimanapun mempunyai kepercayaan kukuh terhadap Islam dan berpegang teguh kepada konsep Tuhan yang satu.






