Hati 'dijentik' Ilahi di Tanah Suci Makkah

Hati 'dijentik' Ilahi di Tanah Suci Makkah


amir_hamid@mediaprima.com.my

Menjadi mutawif (pembimbing haji dan umrah) bukan cita-cita asal Nur Firdaus Abdul Razak, 42, yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

Namun takdir Allah SWT membawanya ke jalan itu ketika beliau menjadi jemaah umrah pada 2021, sejurus Tanah Suci Makkah dibuka semula selepas pandemik Covid-19.

Ketika itu, pelbagai prosedur baharu dilaksana kerajaan Arab Saudi termasuk penggunaan sistem dalam talian.

Melihat mutawif membimbing kumpulannya memerlukan bantuan teknikal, dia menawarkan diri membantu sejak hari pertama.

“Ketika itu, timbul rasa bertuah dan seronok dapat bantu uruskan jemaah umrah walaupun pada masa itu secara tidak rasmi,” katanya.

Nur Firdaus mengakui, dalam satu slot ziarah disampaikan pembimbing ketika itu, beliau tersentuh, seterusnya menimbulkan kecintaan mendalam terhadap penghayatan sirah.

“Daripada situlah lahir keinginan membantu orang lain mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW melalui pendekatan sama,” kata suami kepada Noraini Taha, 41, dan bapa empat orang anak iaitu Uwaees el-Qarny, 13, Hannah Huayra, 11, Naoura el-Misry, 5, dan Abu Ubaydah el-Jarrah, 4, itu.

Bagi Nur Firdaus, tugas mutawif bukan sekadar memimpin ibadat, sebaliknya membimbing rohani, emosi dan jasmani jemaah bermula daripada hari kursus lagi.

Menurutnya, setiap bakal jemaah mempunyai sebab dan motivasi tersendiri untuk ke Tanah Suci Makkah dan mutawif bertanggungjawab meluruskan niat itu supaya selari dengan syariat iaitu menunaikan perintah Allah SWT semata-mata kerana ketaatan kepada-Nya.

“Perkara seperti membeli-belah atau urusan lain hanya perkara yang mengiringi. Mutawif perlu bawa jemaah fokus bahawa ini adalah perjalanan ibadat,” jelasnya.

Sepanjang bertugas, Nur Firdaus mengakui banyak pengalaman menyentuh hati, antaranya membabitkan rakan sebiliknya yang juga jemaah umrah.

“Beliau bukan agamawan mahupun seumpamanya. Beliau pemilik perniagaan bengkel kenderaan berjaya dan sifatnya pula sangat periang.

“Secara zahir terlihat biasa namun beliau begitu konsisten berulang-alik ke masjid tanpa gagal, malah di tengah malam.

“Jam 4 pagi sudah tiada di bilik, masanya dihabiskan di masjid. Kata beliau, ‘Saya tidak tahu apa yang beri kekuatan dan dorongan seperti ini, sangat manis berada di Haramain’.

“Peristiwa itu menyentuh hati saya iaitu bagaimana Allah SWT memanggil, membawa dan membimbing beliau ke rumah-Nya dengan cara tidak disangka, untuk kami saksikan beliau istiqamah berulang alik masjid. Sesuatu yang tidak pernah dilakukannya,” katanya.

Tidak kurang juga cabaran yang menguji ketenangan.

Dalam satu peristiwa, Nur Firdaus menerima panggilan ketika dalam perjalanan dari lapangan terbang ke Makkah bahawa pihak hotel mahu membatalkan tempahan dan mendesak pakej makan diambil sepenuhnya walaupun bayaran sudah dibuat.

“Ketika itu berbaki 20 minit sebelum sampai. Pegawai di lapangan kami uruskan segala perkara berbangkit itu dengan bersungguh-sungguh dan Alhamdulillah, semuanya selesai tanpa pengetahuan jemaah.

“Kami jadikan kisah itu sebagai tazkirah berkaitan pentingnya tawakal dan keperluan untuk tenang pada setiap masa,” katanya.

Nur Firdaus juga pernah berdepan situasi beberapa jemaah jatuh sakit akibat cuaca sejuk di Madinah.

Bersama wakil syarikat, Nur Firdaus mengurus mereka ke klinik swasta sehingga lewat malam.

“Saya temani mereka, jalan kaki dan tahan teksi bersama. Pengajaran yang saya dapat, kita semua di bawah kekuasaan Allah SWT.

“Walaupun sudah berusaha dan bersedia, apa yang berlaku tetap tertakluk kepada kehendak-Nya,” katanya.

Berkaitan kursus umrah, kata Nur Firdaus, ia memainkan peranan penting dalam memastikan jemaah memahami ibadat dengan yakin dan tenang.

“Di situlah konsep asas dipasakkan, manakala perincian diterangkan berterusan sepanjang perjalanan termasuk melalui video pendek disusun sebagai modul rujukan.

“Sepanjang kursus juga, kami tekankan kepentingan membina rasa kebersamaan dalam kalangan jemaah.

“Jika ada jemaah uzur, saya sapa mereka sebagai ‘ayah’ atau ‘ibu’ dan katakan kepada semua, ini ayah ibu kita, kita jaga sama-sama,” katanya.

Antara perubahan paling ketara dilihatnya ialah, jemaah kembali ke tanah air dengan jiwa lebih lembut.

Seorang jemaah, kata Nur Firdaus, menjadi pencinta sirah selepas pulang dan berubah daripada individu yang agak garang kepada lebih lembut tutur kata serta sering menyebut berkaitan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Bagi Nur Firdaus, detik paling menyentuh perasaannya ialah apabila jemaah menangis ketika mendengar kisah Rasulullah SAW dan para sahabat di lokasi peristiwa itu berlaku.

“Kami banyak menangis bersama. Amat mengharukan apabila bercerita tentang Baginda dan sahabat di tanah yang menjadi saksi kisah itu,” katanya.

Berulang kali berada di Tanah Suci Makkah menurutnya, ibarat satu ‘reset’ kehidupan. Segala kebimbangan terasa hilang dan ia mengajar bahawa dunia tetap berjalan walaupun tanpa kehadiran kita.

“Kita bukan siapa-siapa. Jemaah di Haramain silih berganti namun ia tetap dengan kemuliaannya,” katanya.

Nur Firdaus turut melihat bagaimana Malaysia sebenarnya menikmati kehidupan sejahtera berbanding sebahagian negara lain.

Menyentuh soal profesionalisme, Nur Firdaus menegaskan, mutawif perlu menguasai fiqh manasik umrah, fiqh solat dan fiqh darah wanita selain memahami fiqh aulawiyyat serta muwazanat bagi membuat keputusan tepat tanpa menimbulkan kesukaran kepada jemaah.

Penguasaan sirah pula menurutnya adalah ‘nukleus’ yang menghidupkan jiwa jemaah.

Daripada segi sifat perlu ada kepada seseorang mutawif, Nur Firdaus berkata, antaranya kelembutan, ketenangan dan kesungguhan menyantuni jemaah.

“Permintaan ahli jemaah yang kelihatan duniawi perlu ditangani dengan hikmah tanpa terus melarang, sebaliknya diberi kefahaman yang sesuai dengan kemuliaan Tanah Haram,” katanya lagi.

Kepada bakal jemaah, Nur Firdaus menitipkan pesan supaya membetulkan solat dan bacaan sebelum berangkat, kerana solat kunci segala ibadat.

“Selain itu, rendahkan hati dan buang sifat sombong kerana ujian terbesar di Tanah Suci adalah ujian hati.

“Kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Siapkan jiwa untuk menerima bahawa mereka saudara kita. Senyum sahaja dan doakan mereka,” katanya.

Ditanya harapannya dalam profesion mutawif, Nur Firdaus berkata, Malaysia sudah memiliki satu piawaian, sekali gus memberi pengiktirafan kepada mutawif haji umrah yang mahir iaitu Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA) namun belum ada peraturan mengawal kelayakan mutawif untuk membimbing satu-satu umrah.

“Kesannya, banyak versi mutawif. Manusia memang berbeza, tetapi perlu juga dipastikan bimbingan ibadat umrah diberi kumpulan mahir dan menjaga piawaian akhlak baik.

“Semoga kerjaya mutawif diberikan pengiktirafan yang boleh dijadikan satu penanda aras. Pemilihan mutawif tidak boleh tangkap muat. Pelatihan mutawif memerlukan bimbingan daripada jurulatih secara dekat dan langsung.

“Saya berharap semoga ada sistem berpusat memastikan tiada syarikat atau agensi umrah boleh menipu atau mengambil kesempatan,” katanya.

Bagi Nur Firdaus, tugas mutawif amanah besar, membawa manusia bukan sekadar sampai ke Tanah Suci, tetapi pulang dengan hati lebih dekat kepada Allah SWT.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top