Kuala Lumpur : “Sebaik-baik manusia adalah yang mampu memberi manfaat kepada manusia yang lain.”
Prinsip berkenaan menjadi nadi kepada sebuah usaha kecil, namun sarat dengan makna kemanusiaan dan berkongsi satu tujuan membantu dan memudahkan mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan.
Bagi mereka yang terbabit dalam Projek Anak Didik, pendidikan bukan sekadar ruang kelas, papan putih atau pencapaian akademik semata-mata.
Di sini, pembelajaran berlaku di mana-mana, selagi ada keikhlasan untuk mendengar dan kesediaan untuk memberi. Suara anak-anak ini didengari, diraikan dan dibimbing oleh sukarelawan dengan penuh empati.
Kisah ini adalah salah satu perkongsian dalam episod bertajuk Iqra yang dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi dokumentari berjudul Nawaitu.
Program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMD TV RTM) membawa penonton menyelami kisah inspirasi yang membangkitkan kesedaran, memperkukuh keimanan serta menghidupkan roh Ramadan dalam setiap jiwa.
Kepentingan niat yang ikhlas dalam menjadikan amalan harian sebagai ibadah, disampaikan secara menyentuh emosi dan sarat pengajaran dalam dokumentari 15 episod ini yang disiarkan setiap hari di TV1 dan RTMKlik jam 6 petang.
Pengarah Program TV, Reza Shariman Othman berkata pendekatan yang ditampilkan dalam penghasilan kandungan kali ini adalah berbeza dan unik berbanding sebelum ini, terutamanya yang berkait bulan Ramadan.
Katanya, RTM sentiasa mencari kaedah baru dalam penyampaian.
“Ini penting dalam memastikan kandungan seperti dokumentari Islam atau siri Sinar Islam dapat difahami dengan mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat.” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Unit Majalah dan Dokumentari, Hisyamudin Ahmad berkata sesuai dengan tajuk Nawaitu, menegaskan bahawa niat yang baik tidak menghalalkan cara, sebaliknya setiap amalan perlu selari dengan nilai dan tuntutan agama.
“Nawaitu dipilih disebabkan oleh niatlah dalam setiap perilaku dan apa-apa perkara yang kita buat kita bermula dengan niat, setiap niat yang baik itu maka baiklah hasilnya dan jika disalah tafsir akan membawa kesan buruk.
“Setiap episod mempunyai keistimewaan dan setiap kandungan juga telah ditapis dan turut mengangkat kisah-kisah mistik yang menepati kriteria kualiti yang sesuai dengan selera penonton masa kini.” ujarnya.
Tajuk diketengahkan merangkumi Tarian Pahlawan, MADAD, Antara Profesionalisme & Fardhu Kifayah, Iqra, Halalan Toyyiban, Susuk, Seni ‘Haram’ Kuda Kepang, Fardu Kifayah, Al Haq, Yang Benar, Dosa Kuasa Palsu, Garis Ilahi, Ulama Unggul, Thalabul Ilmi, Nota Dari Hati dan Aura Islam.
Dokumentari ini turut diperkukuhkan dengan refleksi ayat-ayat al-Quran, sekali gus mengajak penonton untuk bermuhasabah dan memperbetulkan niat dalam setiap aspek kehidupan.
Istimewanya ia turut mendapat sentuhan beberapa pengarah muda berjiwa besar di UMD TV RTM antaranya Mohd Nazree Mohamed, Nazatul Fareena Sheikh Rosli, Rozihan Mohd Raji dan Mohd Izwan Talhah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






