mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu yang menyamar sebagai jemputan majlis, tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan yangdijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati setakat ini tiada rekod laporan polis atau kes direkodkan secara spesifik berkaitan pautan penipuan jemputan berbuka puasa seperti yang didakwa.
“Bagaimanapun, JSJK tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu (phishing) yang menyamar sebagai jemputan majlis, tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak dikenali atau meragukan dan tidak berkongsi maklumat peribadi, nombor TAC, kata laluan perbankan atau butiran kad kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rusdi berkata, orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak penganjur yang sah sebelum mempercayai sebarang tawaran.
“️Menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis dengan segera sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.
“JSJK sentiasa memantau trend penipuan yang mengambil kesempatan atas musim perayaan atau bulan Ramadan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur jenayah,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai.
Terdahulu, Konsultan Scam, Rahmat Fitri melalui akaun Tiktoknya mendedahkan cubaan sindiket yang membuat jemputan majlis berbuka puasa dengan menyertakan pautan bagi memuat turun fail APK (Android Package Kit) yang tidak diminta.
© New Straits Times Press (M) Bhd





