Dancing Fish tawar buffet Ramadan 'Santapan Di Bawah Langit' di Skydeck

Dancing Fish tawar buffet Ramadan 'Santapan Di Bawah Langit' di Skydeck


Puchong : Restoran masakan Melayu–Indonesia yang tersenarai dalam Michelin Guide Kuala Lumpur, Dancing Fish, memperkenalkan pengalaman bufet Ramadan pertama menerusi konsep ‘Santapan Di Bawah Langit’ di Skydeck B, Bloomsvale Shopping Gallery, Jalan Puchong, di sini sempena Ramadan.

Menawarkan pengalaman menarik berbuka puasa dalam suasana terbuka ‘di bawah langit’ sambil mengetengahkan hidangan berteras warisan rantau ini yang menjadi identiti Dancing Fish.

Pengasas Dancing Fish, Joshua Teoh, berkata Santapan Di Bawah Langit diwujudkan bagi memenuhi keinginan pelanggan yang mahu menikmati hidangan bufet Ramadan dalam suasana lebih eksklusif, selesa dan tersusun tanpa menjejaskan kualiti makanan serta perkhidmatan.

“Kami mahu tetamu menikmati pengalaman berbuka yang selesa dan tidak tergesa-gesa. Fokus diberikan kepada kebersamaan bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil menikmati hidangan dalam suasana Skydeck yang santai dan berbeza,” katanya.

Bagi mengukuhkan kempen Ramadan ini, Dancing Fish turut melantik aktres juga menantu tiri kepada Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza iaitu Nurtria Wulandari Arifin atau popular dengan gelaran Tya Ariffin serta bekas Menteri Kesihatan juga penyampai radio, Khairy Jamaluddin atau KJ sebagai duta rasmi Santapan Di Bawah Langit.

Menurut Tya Ariffin, konsep berbuka puasa di Skydeck memberi kelainan dan sangat dekat dengan nilai kekeluargaan yang diraikan sepanjang Ramadan.

“Waktu berbuka adalah saat untuk berkumpul dan berkongsi. Suasana di Skydeck ini menjadikan pengalaman itu lebih bermakna, tenang dan berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Manakala KJ pula menyifatkan jalinan kerjasama berkenaan sebagai satu usaha yang menekankan kualiti, konsistensi serta nilai budaya.

“Dancing Fish membina reputasi mereka dengan menjaga standard dan kualiti. Itu sesuatu yang penting untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan, termasuk dalam pengalaman bufet seperti ini.

“Ramadan juga mendidik kita untuk menghargai masa bersama keluarga dan komuniti, selari dengan konsep Santapan Di Bawah Langit yang menekankan kebersamaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top