Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul membuat keputusan tegas apabila menolak usul untuk membahaskan isu pegangan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri, Azam Baki.
Speaker Dewan Rakyat tegaskan perkara itu tak boleh dibahas
Memetik laporan daripada Berita Harian, Johari memaklumkan perkara itu tidak boleh dibahaskan ketika ini kerana sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan siasatan masih berjalan.
Namun, beliau berkata isu berkenaan akan dipertimbangkan untuk dibahaskan selepas dapatan siasatan dimuktamadkan.

Permohonan Ramkarpal ditolak Speaker Dewan Rakyat
Terdahulu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi memohon kebenaran membahaskan perkara yang didakwa sebagai berkepentingan awam dan mendesak.
Beliau memaklumkan telah menghantar surat cadangan usul kepada pejabat Yang Dipertua pada 12 Februari jam 1.35 tengah hari.
“Dalam surat saya, saya telah menyatakan alasan mengapa saya percaya perkara ini adalah mendesak dan melibatkan kepentingan awam.
“Saya ingin mendapatkan penjelasan sama ada draf teks tersebut telah diteliti oleh pejabat tuan dan apakah status terkini mengenainya.
“Saya bersedia untuk membahaskan perkara ini serta membentangkan isu dan fakta yang berkaitan kepada Dewan ini,” katanya.
Ramkarpal dakwa jawatankuasa khas tak boleh halang perbahasan
Ramkarpal turut berhujah bahawa penubuhan jawatankuasa tidak seharusnya menghalang perbahasan di Parlimen.
“Walaupun sebuah jawatankuasa sedang menyiasat, ia bukan mahkamah undang-undang.
“Ia hanyalah sebuah jawatankuasa dan tidak menghalang Dewan ini daripada membincangkan perkara tersebut,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, laporan menyebut Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Berdasarkan harga penutupan dagangan, pegangan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.
Azam menjelaskan pegangan saham tersebut dibuat secara telus dan mengikut peraturan, selain menegaskan tiada apa-apa untuk disembunyikan.
Difahamkan, saham berkenaan dibeli pada awal 2025 dan dijual dalam tahun sama selepas harga merosot.

Artikel lain: Azam Baki dipanggil beri keterangan isu saham, Jawatankuasa Khas jamin siasatan telus!
Dalam perkembangan berkaitan, Azam telah mengeluarkan surat tuntutan terhadap Bloomberg berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah, dengan peguamnya menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional beliau.
Beliau juga telah memberikan kenyataan kepada jawatankuasa khas yang menyiasat isu pegangan saham tersebut.





