Washington: Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP)
Amerika Syarikat memaklumkan ia akan menghentikan pengutipan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) mulai 24 Februari.
Penghentian itu berlaku lebih daripada tiga hari selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan tarif berkenaan sebagai tidak sah.
CBP dalam mesej kepada penghantar barang melalui Perkhidmatan Pemesejan Sistem Kargo (CSMS) berkata, semua kod tarif berkaitan perintah IEEPA sebelum ini oleh Presiden AS, Donald Trump, akan dinyaktifkan mulai 24 Februari.
Penghentian pengutipan tarif IEEPA itu bertepatan dengan pengenaan tarif global baharu sebanyak 15 peratus oleh Trump di bawah kuasa undang-undang berbeza.
Bagaimanapun, CBP tidak memberi sebab mengapa ia terus mengutip tarif di pelabuhan masuk beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Agung.
Mesej itu juga tidak memberikan maklumat mengenai kemungkinan bayaran balik untuk pengimport.
Penghentian pengutipan itu tidak menjejaskan tarif lain yang dikenakan Trump, termasuk di bawah Seksyen 232 mengenai keselamatan negara dan Seksyen 301 mengenai amalan perdagangan tidak adil.
Dalam pada itu, CBP berkata, panduan tambahan kepada komuniti perdagangan akan diberikan melalui mesej CSMS mengikut kesesuaian.
Menurut laporan Reuters pada 20 Februari, keputusan Mahkamah Agung itu menjadikan lebih daripada AS$175 bilion (kira-kira RM682.0 bilion) hasil Perbendaharaan AS daripada tarif IEEPA berpotensi untuk dibayar balik.
Anggaran itu dibuat berdasarkan model peramalan Model Belanjawan Penn Wharton.
Model itu menunjukkan tarif berasaskan IEEPA menjana lebih daripada AS$500 juta (kira-kira RM1.949 bilion) sehari dalam hasil kasar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






