KUALA LUMPUR: Dalam persekitaran global semakin kompleks dan kompetitif, pemilihan lokasi untuk membina serta memelihara kekayaan merentas generasi, sama ada melalui perniagaan keluarga, pelaburan strategik atau pemilikan aset global kini menjadi faktor penentu semakin kritikal bagi memastikan legasi dilindungi, diperkukuh dan diwariskan secara tersusun.
Dalam konteks ini, Hong Kong bukan sekadar sebuah pusat kewangan antarabangsa, sebaliknya telah berkembang menjadi ekosistem kehidupan yang menyeluruh.
Di sinilah perniagaan keluarga dan pejabat keluarga berkembang secara serentak, disokong oleh struktur yang jelas, sistem kewangan yang matang serta gaya hidup kosmopolitan bertaraf dunia.
Hakikatnya, sebahagian besar syarikat terkemuka di Asia Tenggara bermula sebagai perniagaan milik keluarga.
Di Malaysia, banyak nama besar dalam sektor perladangan, pembinaan, peruncitan dan penjagaan kesihatan diasaskan serta dibangunkan oleh keluarga sebelum berkembang ke peringkat antarabangsa.
Seiring dengan kematangan perniagaan, aspirasi pemilik turut berubah. Keperluan baharu muncul, termasuk akses yang lebih luas ke pasaran global, penyelesaian pembiayaan dan modal, penyenaraian awam (IPO), serta penstrukturan semula pemilikan dan kawalan keluarga.
Menurut unjuran Deloitte, pasaran IPO Hong Kong dijangka mencatat kira-kira 160 penyenaraian baharu dengan jumlah kutipan sekurang-kurangnya HKD300 bilion pada 2026, disokong oleh lebih 300 permohonan penyenaraian yang masih dalam proses.
Perkembangan ini mencerminkan keyakinan global yang berterusan terhadap peranan Hong Kong sebagai hab kewangan antarabangsa.
Lebih signifikan, kira-kira dua pertiga pelabur teras terdiri daripada pelabur asing, termasuk institusi berprofil tinggi seperti Kuwait Investment Authority, Khazanah Nasional Berhad, GIC Singapura dan Mubadala, dengan pelaburan yang secara konsisten melebihi HKD1 bilion.
Pertumbuhan mampan
Modal ini bersifat jangka panjang dan berteraskan kestabilan serta pertumbuhan mampan, selari dengan falsafah kebanyakan keluarga Melayu.
Namun, apabila sesebuah keluarga berkembang daripada generasi pertama kepada generasi kedua, ketiga dan seterusnya, cabaran utama lazimnya bukan kekurangan peluang, tetapi kelemahan struktur.
Tanpa rangka tadbir urus keluarga yang jelas, keputusan pelaburan mudah dipengaruhi emosi, peranan ahli keluarga menjadi kabur dan konflik dalaman berisiko tercetus.
Di sinilah Hong Kong menawarkan kelebihan tersendiri melalui ekosistem matang dalam tadbir urus keluarga, penstrukturan pejabat keluarga dan pengurusan legasi. Ekosistem ini disokong oleh bakat global dengan pengalaman lebih satu abad dalam mengurus, memelihara dan mengembangkan kekayaan keluarga.
Melalui pendekatan profesional ini, keluarga dapat memisahkan urusan perniagaan daripada kekayaan peribadi, membina rangka tadbir urus yang selari dengan nilai budaya. Selain merancang pemindahan kekayaan merentas generasi secara tersusun dan strategik, bukan sekadar reaktif terhadap keadaan.
Keunikan Hong Kong turut terserlah melalui prinsip “Satu Negara, Dua Sistem”. Hong Kong mengamalkan sistem undang-undang common law dengan kebebasan kehakiman, tanpa sekatan terhadap pemilikan asing, tanpa kawalan pertukaran mata wang, serta aliran bebas modal, bakat dan maklumat.
Bagi keluarga bernilai bersih ultra tinggi, persekitaran ini memberikan tahap keyakinan tinggi kerana aset dilindungi dalam sistem perundangan telus, konsisten dan sejajar dengan piawaian antarabangsa.
Pada masa sama, Hong Kong menyediakan akses strategik kepada China dan ASEAN melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas, termasuk penyertaannya dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), blok perdagangan terbesar di dunia.
Keadaan ini menjadikan Hong Kong bukan pilihan antara China atau dunia, sebaliknya pelantar strategik yang menghubungkan kedua-duanya secara langsung dan bersepadu.
Pengasas Bersama dan Pengerusi Alibaba Group, Joe Tsai, yang mula mengenali Hong Kong pada 1980-an, menyifatkan bandar itu sebagai kota antarabangsa yang sarat dengan tenaga keusahawanan.
“Pada pandangan saya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, Hong Kong memiliki DNA pasaran bebas, pasaran kewangan yang dinamik serta persekitaran cukai yang menyokong.
Ini menjadikannya antara lokasi terbaik untuk perniagaan dan pejabat keluarga berkembang,” katanya.
Dalam konteks legasi, pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi proses membentuk pemimpin masa hadapan keluarga.
54 sekolah antarabangsa
Hong Kong kini menawarkan 54 sekolah antarabangsa yang meliputi kurikulum British, Amerika, Eropah dan Asia. Selain itu, lima universiti Hong Kong tersenarai dalam 100 terbaik dunia, dengan Universiti Hong Kong (HKU) diiktiraf sebagai universiti nombor satu di Asia menurut QS Asia Rankings 2026.
Kehadiran lebih 70 daripada 100 bank terkemuka dunia, bersama rangkaian syarikat multinasional dan institusi kewangan global, menyediakan peluang latihan industri serta pendedahan profesional yang luas.
Ini membolehkan generasi seterusnya membina kefahaman praktikal sebelum memikul tanggungjawab dalam perniagaan dan pengurusan kekayaan keluarga.
Dari sudut gaya hidup, kemewahan di Hong Kong bukan berteraskan kemegahan semata-mata, tetapi pengalaman hidup yang dirancang dengan teliti.
Pagi boleh dimulakan dengan aktiviti mendaki di Dragon’s Back sambil menikmati udara segar dan pemandangan Laut China Selatan.
Waktu tengah hari pula boleh diisi dengan santapan di restoran bertaraf Michelin yang tersembunyi di lorong-lorong bandar, manakala malam dihabiskan dengan makan malam keluarga menghadap Pelabuhan Victoria berlatarbelakangkan panorama cahaya kota.
Pada waktu lapang, keluarga boleh menikmati pantai, taman negara, kelab layar atau padang golf yang terletak hanya beberapa minit dari pusat bandar.
Hong Kong juga menawarkan kawasan kediaman eksklusif yang menitikberatkan privasi dan keselamatan, selain akses mudah ke kelab persendirian, hab kebudayaan, serta bar dan restoran yang tersenarai dalam World ‘s 50 Best Bars 2025.
Dengan kadar jenayah yang rendah, sistem penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa serta komuniti ekspatriat yang mantap, Hong Kong bukan sekadar destinasi untuk bekerja, tetapi lokasi strategik untuk menetap, membina kehidupan dan merancang masa depan jangka panjang bagi keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd






