HULU KELANG: “Ramadan yang paling perit.”
Demikian luah pelakon, Amyza Aznan, 51, yang terpaksa kuat menerima hakikat yang anak sulungnya, Andre Mikhail pergi menemui pencipta pada bulan Ramadan.
Kata Amyza meskipun berat menerima kehilangan anak sulungnya itu, dia perlu reda dengan ketentuan yang direncanakan Allah S.W.T
“Tahun lepas, arwah disahkan menghidap kanser. Tahun ini, Adrian pula disahkan kanser.
“Dan semalam, Andre pergi meninggalkan kami. Ramadan ini memang perit untuk kami sekeluarga,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Ukay Perdana pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 malam semalam selepas satu tahun bertarung dengan kanser paru-paru.
Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan selepas dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Khairiah AU3 sekitar pukul 10.40 pagi tadi.
Pelakon yang dikenali menerusi drama Mat Despatch itu dalam masa yang sama menyifatkan arwah sebagai anak yang baik dan banyak berkorban untuk keluarga.
“Tiada ibu yang tak puji anaknya. Saya puji kerana arwah memang begitu orangnya.
“Dia tidak pernah meninggikan suara, apatah lagi bergaduh dengan adik beradiknya. Mereka adik beradik sayang menyayangi antara satu dengan lain.
“Arwah, walaupun disaat-saat akhirnya tenat, tetap hormat kepada tetamu yang menziarahinya di hospital.
“Pengorbanan dia kepada keluarga terlalu besar. Arwah anak yang istimewa. Bukan saya tidak reda, cuma saya rindu,” kongsinya.- UTUSAN






