PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi saingan kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram dari 27 Februari hingga 1 Mac ini.
Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki susulan siri ujian pramusim di Litar Portimao, Portugal dan Litar Jerez, Sepanyol baru-baru ini, pelumba FRINSA-MT Helmets-MSI itu optimis mampu memberikan tunggangan terbaik pada perlumbaan pembukaan musim baharu itu.
“Saingan Moto3 sangat berbeza dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan.
“Namun, berbekalkan pengalaman beraksi dalam tiga perlumbaan pada tahun lalu, saya telah mengenal pasti aspek kritikal yang perlu dipertingkatkan, khususnya mencatat masa pada sesi kelayakan dan strategi pada hari perlumbaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tahun lalu, pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu itu membuat penampilan sulung dalam saingan Moto3 menerusi tiket wildcard mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSI pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
Hakim Danish bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan di laman sendiri susulan masalah teknikal.
Pelumba itu kemudian diberi peluang beraksi bersama pasukan FRINSA-MT Helmets-MSI bagi menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan pada dua perlumbaan terakhir Moto3 musim lalu.
Hakim Danish mencatat keputusan memberangsangkan dengan menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik, masing-masing di tempat ke-12 (GP Portugal) dan ke-14 (GP Valencia, Sepanyol). – Bernama
Ringkasan AI
- Muhammad Hakim Danish Ramli bersiap sedia mental dan fizikal untuk saingan kelas Moto3 di GP Thailand
- Masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki dari ujian pramusim
- Pengalaman tiga perlumbaan tahun lalu bantu kenal pasti aspek kritikal untuk ditingkatkan
- Debut dalam Moto3 pada GP Malaysia mewakili AEON Credit SIC Racing MSI tetapi gagal menamatkan perlumbaan kerana masalah teknikal
- Beraksi bersama pasukan FRINSA-MT Helmets-MSI gantikan Ryusei Yamanaka cedera, hasil menamatkan perlumbaan kelompok 15 terbaik






