Kuala Lumpur: Kumpulan AFFIN Group dan MBSB Bank komited menyediakan pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion bagi menyokong pengambilalihan pegangan kawalan melebihi 50 peratus dalam U Mobile oleh Mawar Setia.
Di bawah kemudahan pembiayaan itu, AFFIN muncul sebagai pembiaya terbesar dengan komitmen RM2.4 bilion, manakala MBSB Bank menyediakan RM1.4 bilion.
Sebahagian hasil pembiayaan digunakan untuk membiayai pembelian saham Mawar Setia daripada Straits Mobile Investments Pte Ltd.
Mawar Setia, syarikat pegangan pelaburan tempatan yang dikawal oleh Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, dijangka meningkatkan pemilikan domestik dalam U Mobile dengan mengurangkan pegangan asing.
Langkah itu sekali gus memperkukuh penyertaan tempatan dalam sektor telekomunikasi strategik negara, ketika U Mobile memasuki fasa pembangunan korporat seterusnya.
U Mobile sebelum ini dilantik bagi melaksanakan rangkaian 5G kedua negara dan terus memperluas infrastruktur ULTRA5G menerusi kerjasama teknologi strategik bersama Huawei Technologies dan ZTE Corporation.
Antara pencapaian terbaharu termasuk penyediaan liputan ULTRA5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta pelancaran eSIM Pelancong ULTRA5G 24 jam dengan tawaran data 100GB.
Vincent Tan berkata, fasa pertumbuhan seterusnya Malaysia amat bergantung kepada keupayaan pelaksanaan, khususnya dalam pembangunan infrastruktur digital yang boleh dipercayai dan berskala.
Menurutnya, pengambilalihan itu meningkatkan penyertaan Malaysia dalam aset strategik negara serta menyokong pelaksanaan rangkaian 5G U Mobile di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penyertaan sebagai pembiaya terbesar mencerminkan komitmen kumpulan itu dalam memperkukuh infrastruktur digital jangka panjang negara serta menyokong pertumbuhan U Mobile melalui pembabitan domestik yang lebih mendalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, pembiayaan itu menyokong perubahan pegangan kawalan U Mobile pada fasa kritikal selaras aspirasi digital Malaysia, khususnya dalam memperluas capaian digital bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan keterangkuman merentas isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd





