yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan stok fizikal beras semasa negara mampu menampung keperluan bagi tempoh selama 5.45 bulan, jika negara dilanda apa-apa bencana.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, stok fizikal beras semasa negara direkodkan sebanyak 1,089,285 tan, merangkumi 200,000 tan stok penimbal beras dan 889,285 tan stok dagangan, sehingga 3 Februari lalu.
Beliau berkata, KPKM antara lain turut melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim dalam tempoh dua tahun sebagai persediaan negara berdepan sebarang bentuk bencana.
Projek rintis itu, katanya, membabitkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat di
kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), bermula 2024.
“KPKM juga memperkasa industri lembu pedaging, bertujuan biak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan melalui teknologi pembiakan berbantu bagi meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti dalam negara.
“Selain itu, hasil lembu pedaging ditingkatkan melalui Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus.
“Kita juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama seperti negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia, New Zealand dan negara sahabat lain,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana seperti banjir dan perubahan iklim berlaku yang menjejaskan pengeluaran hasil.
Mohamad berkata, pelbagai langkah lain turut dibuat sebagai persediaan menghadapi bencana, termasuk membangunkan serta memperluas Sistem Amaran Awal untuk serangan perosak seperti bena perang serta pemantauan cuaca melalui kerjasama dengan Jabatan Meteorologi.
“Selain itu, memperkukuh Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur bagi menghasilkan benih dan induk berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim melalui Program Nucleus Breeding Centre (NBC) serta Broodstock Multiplier Centre (BMC),” katanya.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, seramai 265 pesawah dengan kawasan sawah musnah disahkan seluas 333.82 hektar, membabitkan tanaman padi berusia (HLT) bawah 70 hari, terjejas dalam bencana banjir di Perlis, pada November lalu.
Beliau berkata, cadangan nilai bantuan kepada pesawah bernilai RM292,426.32 dengan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dijangka bersidang untuk memperaku dan meluluskan bantuan berkenaan, pada 6 Mac ini.
Terkini, katanya, sawah dengan anggaran keluasan 300 hektar terjejas bencana kemarau di Perlis pada awal Februari lalu, dengan Jabatan Pertanian negeri sedang melaksanakan siasatan dan penilaian di lapangan.
“Data lengkap akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal (Ibu Pejabat Jabatan Pertanian) sejurus penilaian terperinci di lapangan selesai.
“Bagi kejadian bencana pada akhir November hingga Disember lalu, permohonan pertimbangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP dengan anggaran permohonan bantuan bernilai RM2.27 juta.
“Ini membabitkan seramai 1,163 pesawah di lapan negeri dengan keluasan musnah sebanyak 1,690.06 hektar. Negeri berkenaan ialah Kedah, Pulau Pinang, Perlis Pahang, Kelantan,Terengganu, Perak dan Sarawak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






