116 mangsa terjejas akibat banjir kilat, dua PPS dibuka

116 mangsa terjejas akibat banjir kilat, dua PPS dibuka



am@hmetro.com.my

Simpang Renggam: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 116 mangsa membabitkan 36 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat, di sini, hari ini.

PPS berkenaan membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar dan SK Seri Kampung Renggam, di sini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat melebihi dua jam, awal pagi tadi.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada 20 keluarga (68 mangsa) di Taman Suria dan Taman Rekamas serta 16 keluarga (48 mangsa) di Kampung Seri Tengah, Renggam.

“Bilangan mangsa di PPS SK Dato Onn Jaafar membabitkan seramai 23 lelaki, 18 wanita, 13 kanak-kanak lelaki, 10 kanak-kanak perempuan, seorang bayi lelaki, dua warga emas lelaki dan wanita serta orang kurang upaya (OKU) lelaki.

“Bilangan mangsa di PPS SK Seri Kampung Renggam pula membabitkan 12 lelaki, lapan wanita, sembilan kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan, tiga warga emas lelaki dan lapan warga emas wanita dan seorang OKU lelaki,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemantauan di Kampung Palembang dan Kampung Bentong mendapati beberapa halaman rumah mula dinaiki air.

Katanya, orang ramai dinasihati terus berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir memandangkan cuaca yang tidak menentu.

“Sila patuh kepada arahan dan nasihat berpindah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top