PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memiliki perancangan rapi dan pendekatan tepat sekiranya rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak memihak kepada badan induk itu.
Umum mengetahui, ini merupakan talian hayat terakhir FAM selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain warisan digantung 12 bulan serta didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) setiap seorang.
Hukuman itu berpunca daripada pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang mengaitkan mereka dengan kes pemalsuan dokumen.
Walaupun peminat Harimau Malaya menaruh harapan agar rayuan di CAS memihak kepada Malaysia, hakikatnya FAM perlu berpijak di bumi nyata.
Berdasarkan pendedahan dokumen keputusan FIFA setebal 60 muka surat sebelum ini, wujud pengakuan yang merekodkan pentadbir mengubah dokumen kelahiran, justeru, FAM wajar bersedia dengan sebarang kemungkinan terburuk.
Jika rayuan ditolak, FAM berdepan kewajipan melunaskan denda RM1.8 juta dalam tempoh ditetapkan selain tidak mustahil juga wujud risiko hukuman tambahan oleh FIFA berikutan tindakan membawa kes berkenaan ke CAS.
Jumlah tersebut bukan kecil bagi sebuah persatuan sukan dan persoalan utama, bagaimana sumber kewangan akan distrukturkan tanpa menjejaskan peruntukan pembangunan akar umbi dan perancangan lain.
Dalam pada itu, jika CAS menolak rayuan, ia turut mengesahkan kesalahan pemalsuan dokumen di sisi undang-undang sukan dunia dan tiada ruang lagi untuk FAM mencari dalih dalam memberikan alasan seperti sebelum ini.
FAM perlu tampil dengan penjelasan menyeluruh dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab di sebalik insiden tersebut yang telah memberikan masalah besar buat bola sepak negara.
Selain itu, skandal ini juga menjadi tamparan besar terhadap pendekatan mengejar kejayaan segera melalui jalan pintas.
Penggunaan pemain warisan dibenarkan oleh FIFA selagi mematuhi peraturan, namun proses pengesahan yang longgar membuka ruang kepada risiko besar.
Selepas ini, prosedur operasi standard (SOP) penapisan dokumen mesti melalui semakan rasmi agensi kerajaan berkaitan dan ketelitian dalam tadbir urus perlu diperkukuh bagi memastikan isu sama tidak berulang.
Bagi penyokong setia yang sentiasa berdiri di belakang pasukan kebangsaan, kontroversi luar padang pastinya sesuatu yang tidak mahu dilihat, didengar dan berulang lagi.
Apa juga keputusan CAS perlu diterima dengan sikap matang dan jika tersungkur, ia wajar dijadikan pengajaran paling mahal dalam sejarah bola sepak negara.
Sudah tiba masanya FAM bangkit memperkukuh integriti pentadbiran dan memulihkan maruah bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.
Tiada gunanya bermimpi mara ke Piala Asia atau Piala Dunia jika asas integriti di peringkat pengurusan masih goyah.






