Transaksi hartanah cecah RM241.87 bilion, rekod tertinggi dalam 10 tahun

Transaksi hartanah cecah RM241.87 bilion, rekod tertinggi dalam 10 tahun

Transaksi hartanah cecah RM241.87 bilion, rekod tertinggi dalam 10 tahun


KAJANG: Pasaran hartanah negara mencatatkan 416,413 transaksi bernilai RM241.87 bilion sepanjang tahun lalu, rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan pertumbuhan yang sederhana.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, nilai transaksi itu menunjukkan peningkatan 4.1 peratus, manakala bilangan transaksi menyusut secara marginal satu peratus berbanding tahun 2024.

Menurutnya, subsektor kediaman kekal menjadi pemacu utama pasaran apabila menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan bilangan pindah milik, dengan nilai transaksi melebihi RM108 bilion.

“Segmen kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah terus menguasai pasaran, merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan transaksi,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta Tahun 2025, di sini, hari ini.

Katanya, Indeks Harga Rumah Malaysia mencatat 233.1 mata, dengan harga purata RM502,922 seunit, menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus.

“Rumah jenis teres mendahului peningkatan harga sebanyak 3.3 peratus, diikuti rumah berkembar 2.8 peratus, rumah sesebuah 2.4 peratus dan unit bertingkat tinggi 0.6 peratus,” katanya.

Abdul Razak berkata, hampir 65,000 unit pelancaran baharu direkodkan sepanjang 2025 dengan kadar jualan 35.5 peratus, namun jumlah pelancaran itu menyusut 14.9 peratus berbanding 2024.

“Bagi segmen hartanah tidak terjual, unit kediaman siap dibina namun tidak terjual merekodkan lebih 30,000 unit dengan nilai RM17.73 bilion, masing-masing meningkat lebih 30 peratus dan 27 peratus dari segi bilangan dan nilai daripada tahun lalu.

“Bagaimanapun, pangsapuri khidmat menunjukkan penambahbaikan apabila 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion direkodkan, berbanding 19,564 unit bernilai RM15.7 bilion pada 2024,” katanya.

Tambahnya, kadar penghunian kompleks perniagaan dan pejabat binaan khas milik persendirian turut menunjukkan peningkatan positif kepada 78.9 peratus dan 71.9 peratus. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top