Toh Puan Na’imah Abdul Khalid tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau terlibat dalam sebarang usaha menggulingkan kerajaan seperti yang ditularkan pihak tertentu.
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas, melucukan dan langsung tidak masuk akal.
Na’imah nafi dakwaan sabotaj

Beliau turut menegaskan cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg, yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
“Dakwaan bahawa saya cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan adalah sesuatu yang melucukan dan mengingatkan kepada tuduhan-tuduhan lampau mengenai usaha menjatuhkan kerajaan yang dihadapi oleh Perdana Menteri sendiri, ketika beliau pernah mengisytiharkan memiliki ‘angka yang kukuh’ untuk merampas kuasa.
“Tidak pernah sekali pun saya terlibat dalam mempertimbangkan, atau menyokong sebarang usaha untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan yang dipilih,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Menurut beliau, siasatan itu membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah agensi media antarabangsa.

Artikel lain: Dakwaan jatuhkan kerajaan? Ketua Polis Negara sahkan terima laporan
Dalam pada itu, Na’imah sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah terlibat, apatah lagi mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat.
Pada masa sama, beliau enggan mengambil kredit terhadap pendedahan laporan media berkenaan, sebaliknya menjelaskan ia merupakan hasil kerja kewartawanan pihak lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.





