Kuala Lumpur: Cabaran Malaysia pada Terbuka Jerman 2026 berakhir selepas beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tumbang pada suku akhir di Mulheim, awal pagi tadi.
Kekalahan paling mencuri tumpuan menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin atau turut dikenali sebagai FeiDin yang tunduk 21-16, 16-21, 18-21 kepada gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dalam pertarungan selama 50 minit.
Sze Fei-Izzuddin yang memenangi set pertama 21-16 tampak berada di landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir, namun pasangan Taiwan itu bangkit menguasai set kedua 21-16 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Ketika ketinggalan 18-20 pada set penentuan, tercetus situasi kontroversi yang mencuri perhatian.
Dalam rali penentuan, Izzuddin membiarkan bulu tangkis jatuh kerana menyangka ia keluar, namun penjaga garisan memberi isyarat ‘penglihatan terhalang’, sekali gus meletakkan keputusan muktamad di tangan pengadil.
Pengadil kemudian memutuskan bulu tangkis itu masuk, sekali gus menghadiahkan mata kemenangan kepada pasangan Taiwan.
Keputusan itu diprotes oleh Izzuddin, namun tidak mengubah hakikat kekalahan yang mengakhiri cabaran Malaysia pada kejohanan berstatus Super 300 itu.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Soon Huat-Shevon turut menerima nasib sama apabila tewas 17-21, 13-21 kepada pasangan ranking ke-190 dunia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja yang juga gandingan baharu Singapura-Indonesia dalam masa 30 minit.
Kekalahan Sze Fei-Izzuddin dan Soon Huat-Shevon menyaksikan tiada wakil negara mara ke kelompok empat terbaik, satu keputusan yang pastinya menuntut penilaian semula menjelang kejohanan berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






