Kuala Lumpur: Dunia hoki tanah air diselubungi duka dengan pemergian legenda negara, R Ramakrishnan yang menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 72 tahun, dipercayai akibat serangan jantung di sebuah hospital di Damansara di sini.
Menurut ahli keluarga, urusan pengebumian akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, bekas ketua jurulatih Speedy Tigers, Stephen Van Huizen, yang mengenali mendiang sejak 1972, menyifatkan Ramakrishnan sebagai seorang insan yang merendah diri, berbudi pekerti tinggi, dan sentiasa menghulurkan bantuan.
“Memang satu kehilangan besar kerana beliau antara legenda hoki negara. Walaupun namanya jarang disebut, beliau memang antara pemain terbaik. Anda boleh lihat beliau beraksi dalam tiga Piala Dunia, dua Sukan Olimpik, menjadi kapten Piala Dunia, dan tersenarai dalam Asian All-Star.
“Selepas bersara, beliau turut membantu dalam latihan untuk semua kategori umur. Bagi saya, kehilangan ini amat dirasai kerana beliau seorang individu yang baik, berbudi, pemain hoki cemerlang, dan sangat rendah diri, sentiasa membantu orang tanpa mengharap balasan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sepanjang kariernya, Ramakrishnan pernah mengetuai skuad kebangsaan pada Piala Dunia 1978, selain beraksi dalam dua Sukan Olimpik (1972 dan 1976), tiga edisi Piala Dunia (1973, 1975 dan 1978), dua Sukan Asia (1974 dan 1978), serta empat temasya Sukan Seap/Sea, di samping pelbagai kejohanan antarabangsa lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd






