Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tegas dengan pendiriannya apabila menganggap tindakan memijak kitab suci al-Quran sebagai tindakan melampau serta menghina masyarakat beragama Islam.
Kata Siti menerusi hantaran di Instagram Stroy miliknya, secara peribadi beliau amat berdukacita dan terkesan dengan tindakan melampau individu berkenaan.


Jelasnya, tindakan itu mencerminkan hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia, di mana jika dibiarkan, ia berpotensi merosakkan moral generasi akan datang.
“Saya secara peribadi, amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci Al-Quran, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
“Perbuatan tersebut melukiskan gambaran hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia, yang jika dibiarkan, akan merosakkan moral generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Siti berharap agar tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan sesuai peruntukan undang-undang sedia ada.
“Negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan yang jelas.
“Justeru, kami berharap agar perbuatan si pelaku dikenakan tindakan serta hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.






