Pendakwah selebriti, Haris Ismail atau PU Riz meluahkan rasa kecewa dan marah selepas tular sebuah video yang memaparkan seorang individu memijak Al-Quran dan memuat naik rakaman tersebut ke media sosial.
Dalam hantaran video di Instagram, PU Riz menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah merupakan satu penghinaan besar terhadap agama.
“Baru-baru ini ada viral ada seorang individu yang memijak Al-Quran dan ini adalah perkara yang sangat menyakitkan hati umat Islam.
“Dan orang itu bukan saja memijak Al-Quran, dia juga memuatnaik perkara yang dibuat itu di media sosial. Itu juga satu penghinaan terbesar pada satu orang yang lain dalam konteks agama.
“Kalau kalian tidak rasa marah atau geram, kalian bukan orang yang normal, jujur apa yang saya katakan,” katanya.
PU Riz juga mengingatkan bahawa setiap agama ada batas dan prinsip yang wajib dihormati oleh semua pihak.
Suami kepada selebriti Neelofa ini turut menegaskan pentingnya tidak melanggar sempadan rasa hormat antara agama:
“Apa yang kita diajar supaya kita tidak melanggar perimeter yang ada antara satu agama dengan agama yang lain.
“Jangan kamu menghina agama yang menyembah selain daripada Allah. Itu adalah prinsip dan fahaman kita. Ini satu perkara menyedihkan sebab ada individu yang sengaja,” katanya.
PU Riz mengimbas kembali beberapa insiden lampau yang menimbulkan sensitiviti agama dan menyatakan pihak berkuasa telah bertindak, termasuk siasatan dan prosiding undang-undang.
Menurutnya, apabila Al-Quran dipijak, ia menggugat perasaan ramai dan tindakan undang-undang perlu dijalankan:
“Dalam hal ini juga apabila orang memijak Al-Quran, jiwa kita bergelora apabila melihat perbuatan itu. Tindakan telah diambil, disiasat dan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa waktu.
“Tidak ada apa-apa yang boleh menyakitkan hati seseorang melainkan dia memburuk-burukkan agama seseorang itu,” tambahnya.
PU Riz menegaskan isu ini melibatkan sensitiviti 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja yang sentiasa menjadi perkara peka dalam masyarakat majmuk.
ARTIKEL BERKAITAN: “Perbuatan Yang Disengajakan Tak Layak Dimaafkan, Memaafkan Itu kerja Tuhan” – Izara Aishah
Dia menyeru agar semua pihak saling menghormati agar ketenteraman dan keharmonian tidak terganggu.
“Kalau kita tengok 3R, ia telah melanggar secara jelas. Apabila sentuh agama seseorang, ia menyakitkan hati dan akan menjadi kacau-bilau.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya menyeru kepada semua agama, tidaklah kita menyakiti hati bangsa atau agama lain kerana kalaulah agama kita tidak dapat hormati pada seseorang itu, apa lagi kita boleh hormat seseorang itu.
“Sebab agamalah yang membawa pendidikan akhlak, bawa seseorang tunduk dan taat perintah Allah. Agama juga menjadikan seseorang itu ‘governed by the law in the society’.
“Jadi kalau kita tidak ambil pendekatan ini untuk menstabilkan hubungan antara kita, ia akan berlarutan dan mungkin peristiwa buruk akan berlaku.
“Semoga Malaysia didoakan dalam keadaan aman damai dan semoga Allah mengangkat institusi Islam di kemuncak dan kestabilan mengamalkan agama di negara ini dikekalkan,” ujarnya lagi.






