am@hmetro.com.my
Seremban: “Sudah jam 3 pagi.. dalam bulan Ramadan. Orang lain sedang bersiap untuk bersahur, beribadah, tetapi kamu masih sibuk merempit,” kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim.
Beliau menegur hampir 200 individu yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Persiaran Senawang 1 di sini, awal pagi Ahad selepas terbabit aktiviti menunggang berbahaya, melakukan aksi dan berlumba sesama sendiri.
Kumpulan itu dikesan menghidupkan suasana malam dengan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam, malah ada pihak yang menjadi penonton, termasuk sanggup membawa anak kecil menonton aksi.
Ketika operasi dijalankan, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban dengan kekuatan enam pegawai dan 71 anggota menutup laluan berkenaan di semua arah.
Azahar berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa 197 individu membabitkan 167 kenderaan dengan 153 daripadanya adalah motosikal.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 183 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu (22), tiada nombor pendaftaran (39), ubahsuai ekzos (20) dan penunggang bawah (16).
“Dalam masa sama, polis menahan tiga penunggang motosikal lelaki berusia 14, 18 dan 30 tahun kerana melakukan aksi dengan cara mengangkat tayar hadapan motosikal,” katanya.
Menurutnya, tiga lelaki berkenaan bersama motosikal dibawa ke BSPTD Seremban untuk tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala sebanyak 18 motosikal disita.
“Suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 3 Mac. Kami turut menemui satu botol minuman keras yang belum dibuka dalam bakul motosikal seorang yang ditahan ini,” katanya.
Beliau berkata, individu yang diperiksa dan ditahan sempat merasa bersahur di balai polis sebelum urusan dokumentasi selesai.
“Majoriti daripada mereka adalah beragama Islam. Adakah mereka bangga dapat berlumba pada bulan Ramadan?
“Ibu bapa sepatutnya memantau aktiviti anak masing-masing yang keluar sehingga tiga, empat pagi. Ada yang masih di bawah umur dan rata-ratanya berasal dari Seremban dan daerah terdekat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






