Pemuda Gen Z cinta klasik dan vintaj

Pemuda Gen Z cinta klasik dan vintaj

Pemuda Gen Z cinta klasik dan vintaj


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Putrajaya: Biarpun tergolong dalam kategori Gen Z, pemuda ini bersemangat memartabatkan warisan sejarah menerusi hobinya yang gemar mengumpul pakaian klasik juga barangan peninggalan lama atau vintaj.

Minat Mohamad Alif Daniel Mohammad Nor, 25, sangat mendalam kerana bukan hanya diterjemahkan menerusi gaya dan penampilannya, tetapi juga dekorasi dalam ruang bilik tidur di rumah.

Berkongsi kisahnya, Mohamad Alif Daniel yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia cenderung mendalami sejarah dan yang berkaitan dengan kesenian warisan sejak kecil lagi.

“Sejak kecil lagi sudah terjebak dan minat kerana arwah nenek suka bercerita mengenai sejarah.

“Saya pun ada tengok album keluarga dan tengok mereka pakai baju lama. Jadi, minat itu bukan hanya kerana saya membaca serta mendengar tapi menghayati dengan visual.

“Di sekolah pun saya memang minat subjek Sejarah. Minat mengumpul koleksi barangan ketika berusia 17 tahun selepas terbabit dengan kelab memperagakan pakaian seragam selain terbabit dengan pameran berunsur sejarah misalnya di muzium,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Presint 8, di sini.

Bermula dengan mengumpul wang lama, Mohamad Alif Daniel teruskan minat dengan menyimpan koleksi topi, pakaian tradisional dan seragam, perkakas rumah, perabot hingga senjata lama seperti keris.

Katanya, barangan itu dibeli di merata tempat antaranya dengan ‘menyelam’ di pasar karat dan kedai antik.

“Ada juga dibeli dari luar negara seperti pakaian seragam tentera kerana di sini susah nak dapatkan yang asli. Jika ada pun, dalam keadaan tak berapa baik sangat.

“Setiap barangan itu ada nilai tersendiri dan menyimpan pelbagai cerita yang kita pun tak tahu melainkan dapat menjejak pemilik sebenarnya.

“Penampilan harian saya pula, cukup nampak kemas saja tapi pernah juga keluar dengan gayakan pakaian klasik.

“Tak malu pun keluar pakai baju begitu kerana kebiasaannya pun berjalan dengan rakan dan bila nampak, orang sudah tahu kami ada perjumpaan. Orang lama yang nampak biasanya akan tegur mungkin kerana tengok saya gayakan pakaian zaman mereka,” katanya yang juga graduan Ijazah Perhubungan Antarabangsa lulusan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menurut Mohamad Alif Daniel, keluarga tidak menghalang, malah menerima dan memahami minatnya yang semakin serius sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Alif Daniel mengakui ada yang tidak mengerti dengan mengatakan hobinya itu membuang masa dan tidak akan ke mana-mana.

“Keluarga semua okay cuma saya saya ekstrem minat sejarah dan kumpul barangan vintaj.

“Saya pun bukannya orang berada jadi ada yang dapat dengan harga murah tapi ada juga mahal, salah satunya keris bernilai RM1,000.

“Terlalu banyak kenangan dengan hobi ini kerana saya pernah sambung belajar di Jepun dan terbabit dengan komuniti reka ulang sejarah dekat sana sampai ikut latihan ala tentera Jepun.

“Tapi pernah juga berdepan pengalaman mistik selepas beli beg kulit zaman tentera Jepun sampai dapat mimpi buruk kemudian nampak kelibat waktu di tandas walaupun tiada rakan sebilik masa itu. Jadi kena tahu cara ‘membersihkannya’ kerana sebahagian barangan lama ini ada ‘semangatnya’,”katanya yang gemar menggayakan pakaian klasik era 70an dan 80an terutama ketika meraikan Aidilfitri.

Sebagai generasi muda, Mohamad Alif Daniel berbangga kerana dapat menjadi salah seorang individu yang memartabatkan kesenian warisan sejarah.

“Ini identiti kita, siapa lagi nak martabatkan kalau bukan kita semua.

“Saya kumpul (koleksi) pun bukan untuk suka-suka tapi kaji kemudian tunjuk serta terangkan kepada umum bila ada acara ibaratnya kita muzium bergerak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top