LIPIS: Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) daerah ini sedang mengesan ibu bapa kandung dan waris seorang bayi lelaki berusia empat bulan 27 hari yang diserahkan kepada seorang kenalan pada 12 November 2025 di Andalas, Klang, Selangor tanpa sebarang dokumen penjagaan.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Lipis, Hizani Ibrahim berkata, bayi tersebut diserahkan oleh seorang wanita yang dipercayai kenalan kepada ibu kandungnya atas alasan tertentu bagi penjagaan sementara.
“Namun, selepas penyerahan itu, wanita itu tidak lagi tampil untuk mengambil semula bayi tersebut dan segala usaha menghubunginya gagal.
“Bayi itu kemudiannya dirujuk kepada PKM Daerah Lipis bagi tindakan lanjut dan kini berada di bawah seliaan jabatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hizani berkata, permohonan pengecualian di bawah Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 sudah diluluskan bagi tujuan siaran media ini, untuk membantu mengesan ibu bapa kandung atau waris kanak-kanak berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Lipis, Siti Noraniza Omar di talian 093121280 atau melalui emel [email protected]. – UTUSAN






