Kuala Lumpur: Malaysia dan Perancis kini berada dalam fasa akhir untuk memuktamadkan dokumen perjanjian baharu yang dijangka memperluas skop kerjasama pertahanan kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh hubungan strategik bagi memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan sempena kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia yang baharu, Marc Abensour, hari ini.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama strategik, terutamanya dalam pembangunan industri pertahanan tempatan.
“Ia juga bertujuan meneroka potensi Malaysia sebagai sebahagian daripada rangkaian bekalan global bagi komponen serta teknologi pertahanan, selari dengan kepakaran industri Perancis,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mohamed Khaled berkata, hubungan kerjasama pertahanan Malaysia dan Perancis telah dimulakan melalui perjanjian kerjasama yang ditandatangani sejak 1993.
“Sebagai negara pemerhati dalam platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM-Plus), Perancis turut memainkan peranan konstruktif melalui penglibatan aktif dalam pelbagai Kumpulan Kerja Pakar bersama negara-negara ASEAN,” katanya.
Abensour memulakan tugas rasmi beliau di Kuala Lumpur sejak Januari lalu.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Atase Pertahanan Perancis ke Malaysia yang baharu, Kol Stefan Stefanic.
© New Straits Times Press (M) Bhd






