BANDAR RAYA KUWAIT/WASHINGTON/TEHERAN – Tiga jet pejuang Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh awal pagi Isnin dalam satu insiden yang dipercayai sebagai tembakan tersilap sasaran oleh pasukan pertahanan udara Kuwait.
Kesemua enam orang yang menaiki jet-jet itu berjaya melenting keluar dengan selamat.
Menurut kenyataan daripada Markas Pusat AS, (Centcom), pertahanan udara Kuwait melepaskan tembakan ke arah jet-jet pejuang F-15 ketika ia menjalankan misi tempur pada hari ketiga konflik susulan pelancaran serangan udara AS–Israel ke atas Iran pada Sabtu.
Menurut Centcom, mereka yang melenting keluar berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Semasa pertempuran aktif yang termasuk serangan daripada pesawat Iran, peluru berpandu balistik dan dron, jet-jet pejuang Tentera Udara AS telah tersilap ditembak jatuh oleh pertahanan udara Kuwait,” menurut kenyataan itu.
Kuwait telah mengaku insiden tersebut dan melancarkan siasatan, tambah kenyataan itu.
Menurut hantaran Centcom di platform X, insiden itu melibatkan tiga jet F-15E Strike Eagle.
Rakaman video memaparkan salah satu jet tersebut terhempas dari langit di ruang udara Kuwait.
Seorang individu kelihatan turun menggunakan payung terjun. Lokasi kejadian disahkan oleh Reuters dirakam di kawasan Al Jahra, Kuwait.
Satu lagi klip didakwa menunjukkan salah seorang juruterbang, seorang lelaki memakai sut penerbangan sambil memegang peralatan yang dipercayai alat bantuan pernafasan, berada di bahagian belakang sebuah kenderaan.
Hantaran itu menyatakan individu tersebut sedang diberi bantuan oleh sekumpulan rakyat Kuwait.
Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Dan Caine hanya menyentuh secara ringkas mengenai insiden itu dalam taklimat media di The Pentagon, Washington pada pagi Isnin.
“Saya dimaklumkan mengenai kehilangan tiga pesawat F-15E Tentera Udara AS. Saya bersyukur kerana kru berada dalam keadaan selamat dan kami tahu bahawa ini bukan berpunca daripada tembakan musuh. Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan, saya tidak akan mengulas lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, media kerajaan Iran, yang memetik Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran melaporkan bahawa angkatan bersenjata negara itu mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah jet AS yang terhempas di Kuwait, menurut Reuters . – AGENSI






