Wolverhampton Wanderers menewaskan Liverpool 2-1 dalam aksi EPL. Foto AFP
BINTANG sensasi, Mohamed Salah akhirnya berjaya menamatkan kemarau gol dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun ia belum cukup untuk menyelamatkan Liverpool daripada mengalami kekalahan mengejut 1-2 di tangan pasukan corot, Wolverhampton Wanderers di Molineux pada Rabu.
Keputusan menghampakan itu sekali gus memberikan tamparan hebat kepada harapan The Reds untuk melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Susulan kekalahan itu, Liverpool kekal di tangga kelima liga dengan 48 mata daripada 29 perlawanan.
Sementara itu, rentak positif yang dipamerkan Wolves membolehkan mereka mengumpul 16 mata selepas mengharungi 30 aksi.
Lebih meresahkan, sekiranya Chelsea berjaya melakar kemenangan ke atas Aston Villa pada Rabu, Liverpool berdepan risiko jatuh ke tangga keenam liga susulan kekalahan kesembilan mereka kempen ini.
Sebagai rekod, mereka tidak pernah tewas 10 perlawanan liga dalam satu musim sepanjang sedekad yang lalu.
Tiada siapa boleh menyangkal kebangkitan luar biasa Wolves di bawah kendalian pengurus, Rob Edwards.
Selepas aksi dilihat hambar pada sebahagian besar perlawanan, pertembungan itu kembali ‘hidup’ pada 15 minit terakhir yang menyaksikan tuan rumah meledak dua gol lewat.
Jaringan daripada Rodrigo Gomes dan Andre berjaya menenggelamkan gol tunggal yang dicetak oleh Salah.
Sentuhan magis Edwards jelas membawa perubahan besar kepada semangat juang pemain Wolves apabila mereka melakar kemenangan berturut-turut ke atas pasukan kelompok lima teratas liga, menyusuli kejayaan menundukkan Aston Villa pada hujung minggu lalu.
Sebaliknya, Liverpool terus dikritik selepas mempamerkan satu lagi corak permainan yang disifatkan agak longlai.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun berpeluang untuk membuat perhitungan semula apabila dijadualkan bertembung di venue yang sama pada Jumaat ini bagi aksi pusingan kelima Piala FA.
Ringkasan AI
- Mohamed Salah berjaya memecahkan kemarau golnya dalam Liga Perdana Inggeris tetapi Liverpool tetap tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers
- Kekalahan tersebut membahayakan peluang Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah
- Liverpool berada di tangga kelima liga dengan 48 mata dari 29 perlawanan
- Wolves menunjukkan kebangkitan di bawah kendalian Rob Edwards dengan kemenangan berturut-turut terhadap pasukan lima teratas liga
- Liverpool dan Wolves akan bertemu lagi dalam aksi pusingan kelima Piala FA






