am@hmetro.com.my
Miri: Pengusaha kek lapis Sarawak, Mohd Fazrizal Mohamad, 37, menerima tempahan sebanyak 600 loyang menjelang Aidilfitri sekali gus menyaksikan peningkatan luar biasa berbanding hari biasa.
Katanya, setakat ini dia sudah menyiapkan 400 loyang kek lapis manakala baki 200 loyang lagi dalam proses untuk disiapkan sebelum 1 Syawal.
“Alhamdulillah, permintaan kek lapis tahun ini memang luar biasa. Saya sudah siapkan 400 loyang tempahan dan kini menyiapkan baki selebihnya dengan bantuan tiga pekerja” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, dalam sehari, mereka mampu menghasilkan 30 hingga 40 loyang kek lapis premium yang mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk disiapkan bergantung kepada jenis dan ketebalan lapisan.
Katanya, pasaran kek lapisnya merangkumi pelanggan tempatan di Miri selain menerima tempahan dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Kek lapis yang dihasilkan dijual pada harga serendah RM45 sehingga melebihi RM400 bergantung pada saiz dan jenis,” katanya.
Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak itu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah kakaknya pada 2020 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jualan dibuat sepenuhnya secara dalam talian melalui platform Shopee dan Facebook.
Minat yang dipupuk sejak kecil dengan membantu ibunya melapis kek menjadi titik tolak kepada perkembangan perniagaan berkenaan sebelum kini beroperasi di premis sendiri di Miri Commercial Centre, berdekatan Lapangan Terbang Miri.
Menurutnya, penggunaan bahan mentah premium antara faktor yang diberi penekanan bagi memastikan rasa dan kualiti kek lapis sentiasa terpelihara.
Namun, dia mengakui berdepan cabaran dari segi kos bahan mentah yang tinggi serta pengurusan masa terutama ketika musim perayaan.
“Kepuasan terbesar adalah apabila pelanggan kembali membeli dan menghargai hasil kerja kita. Tanpa mereka, perniagaan ini tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





