Pelakon Amyza Aznan berkongsikan dia menyedari perubahan pada cara berjalan anak keduanya, Adrian Adam membuatkan mereka melakukan pemeriksaan lanjut di hospital.
Memetik mStar Online, Amyza berkata kaki anaknya juga turut mengalami bengkak secara tiba-tiba sebelum disahkan menghidap kanser tulang.
BACA: Alha Alfa Serah RM20,000 Bantu Rawatan Anak Kedua Amyza Aznan
“Dia lalui pemeriksaan terperinci sebanyak tiga kali sebelum doktor sahkan dia menghidap kanser,” katanya.
Sementara itu, Amyza berkata mereka masih dalam usaha mencari hospital yang sesuai untuk rawatan Adrian selepas menerima sumbangan daripada orang ramai.
Tambahnya, buat sementra waktu Adrian menjalani rawatan alternatif sementara menunggu keputusan mendapatkan pusat perubatan yang bersesuaian.
“Buat masa ini kami masih mencari hospital yang sesuai buat Adrian kerana banyak duit sumbangan yang nak tengok dia sihat semula seperti sedia kala.
“Saya faham sumbangan itu diberi agar tidak berlaku perkara yang sama. Tapi sementara tunggu rawatan di hospital, saya ada minta air (penawar) daripada imam masjid,” katanya.
Dalam pada itu, Adrian berkata kakinya akan sakit sekiranya terlalu banyak bergerak serta memerlukan rehat yang cukup setiap hari.

“Saya akan sakit kaki kalau banyak berjalan selain perlu banyak berehat. Berat badan saya pun makin menurun sebab kurang makan tapi lebih kepada berpantang sebenarnya.
“Mana yang orang cakap benda itu memberi kesan kepada kanser, saya akan elak untuk makan. Gula memang saya tak ambil dan lebihkan kepada makanan sebenar (real food),” katanya.
Adrian turut memberitahu dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pelajaran serta memberi tumpuan kepada proses rawatan serta penyembuhan.
“Niat saya memang nak sambung belajar tapi sebab keadaan saya macam ini, banyak yang saya tangguh dahulu. Ada beberapa program yang sepatutnya saya ikuti tapi sebab keadaan makin teruk, saya terpaksa tarik diri saat akhir,” katanya.
Sumber: mStar Online






