Zulfahmi (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Antara Aeon Credit Dengan ZK Racing di WTCKL pada Rabu. Foto: Bernama
SUKAN permotoran memerlukan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dimanfaatkan pelumba berbakat besar negara seperti Muhammad Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan supaya mereka boleh pergi lebih jauh.
Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairudin berkata, bakat yang dimiliki kedua pelumba itu tidak boleh disia-siakan kerana setakat ini mereka sudah membuktikan kemampuan bersaing di peringkat antarabangsa dengan cemerlang.
“Saya percaya KBS perlu lihat perkara ini dengan lebih baik sebab dua bakat ini memang kita susah nak jumpa. Mungkin 10 tahun sekali baru kita jumpa,” katanya pada Majlis Menandatangani Kerjasama MSi Racing Team bersama AEON Credit, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol di World Trade Centre (WTC) pada Rabu.
Terdahulu, Mordi berkata, KBS setakat ini masih belum menyediakan dana peruntukan buat sukan permotoran meskipun Kejuaraan Motosikal Dunia telahpun bermula di Buriram, Thailand minggu lepas.
“Kami belum ada peruntukan untuk itu (sukan permotoran) setakat ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peruntukan yang disediakan KBS kepada sukan permotoran untuk menyokong Hakim Danish dan Qabil Irfan.
Mordi bagaimanapun berkata, KBS akan terus memberi sokongan berterusan kepada sukan itu selain membantu untuk mencari bakat baharu buat sukan permotoran pada masa akan datang.
“Kita berada dalam keadaan yang baik (prestasi sukan permotoran), kami di pihak KBS akan menyokong terus segala usaha mencari bakat-bakat muda untuk menjadi pelapis dalam sukan permotoran,” katanya.
Sementara itu, Mordi berkata, AEON Credit yang menjadi penaja utama buat pasukan diwakili Hakim Danish dalam Moto3 diharap dapat membuka mata agensi korporat lain supaya terlibat dalam membantu bakat-bakat muda berkembang.
“Kita tak dapat bergantung dengan dana kerajaan semata-mata sebab semua tahu kos untuk sukan permotoran ini sangat tinggi, bukan murah. Jadi, kita perlukan kemampanan sukan ini melalui kerjasama strategik daripada syarikat korporat,” katanya. -Bernama
Ringkasan AI
- Sukan permotoran memerlukan peruntukan dari KBS untuk membantu pelumba berbakat
- Bakat Muhammad Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan berpotensi besar di peringkat antarabangsa
- KBS belum menyediakan peruntukan khusus untuk sukan permotoran
- KBS berjanji akan terus menyokong sukan permotoran dan mencari bakat baharu
- AEON Credit menjadi penaja utama, menunjukkan perlunya kerjasama korporat untuk sokongan kewangan






