Masjid disaran sediakan makanan percuma setiap hari, bukan bermusim

Masjid disaran sediakan makanan percuma setiap hari, bukan bermusim


IPOH: Masjid-masjid di Perak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran menyediakan makanan percuma secara harian dan bukan hanya pada musim tertentu seperti bulan Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, pemberian makanan percuma itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah mampu menarik lebih ramai jemaah ke masjid.

Katanya, pendekatan itu sudah lama diamalkan oleh rumah ibadat lain yang menyediakan makanan percuma setiap hari.

“Sebaik-baiknya masjid-masjid dan persatuan-persatuan Islam jangan membuat persediaan menolong orang susah ini secara bermusim, kerana orang susah bukannya perlu makan sebulan sekali atau sebulan dalam setahun.

“Kalau boleh, kita jadikan usaha menyediakan makanan secara percuma ini sebagai amalan berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pengagihan Nasi Beriani Juadah Berbuka Puasa di Masjid Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, beberapa masjid di Ipoh telah melaksanakan inisiatif sedemikian pada setiap Jumaat di mana orang ramai menyumbangkan makanan secara ‘potluck’.

Katanya, usaha individu yang bersedekah itu membolehkan orang ramai, terutama golongan kurang berkemampuan, menikmati hidangan tengah hari selepas menunaikan solat Jumaat.

“Jawatankuasa masjid perlu mengambil langkah proaktif dalam menjalankan usaha ini di mana masjid harus ke hadapan untuk membantu orang-orang yang memerlukan makanan secara harian.

“Tambahan lagi dengan harga barang yang semakin mahal, bilangan individu yang hadir ke masjid semakin meningkat tambahan lagi yang berada berhampiran pusat pengajian tinggi.

“Dengan sumber kewangan yang terhad dan bergantung kepada pinjaman serta biasiswa, golongan pelajar sudah tentunya antara yang berharap ada yang menaja makanan untuk berbuka puasa di masjid,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top