kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) meneruskan komitmen jangka panjangnya dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat apabila sudah menyalurkan sejumlah RM68 juta bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pelaburan sosial di seluruh negara sepanjang 2025.
Inisiatif CSR itu memberi manfaat kepada lebih 760,000 rakyat Malaysia, merentasi pelbagai komuniti.
Tahun ini kumpulan menganjurkan Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB yang berlangsung di Masjid Al‑Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 sebagai program tahunan, sebahagian daripada usaha berterusan PNB untuk mengembalikan nilai kepada rakyat, selaras dengan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, usaha PNB bukan terhad kepada sokongan jangka pendek, tetapi bertujuan membina asas kemerdekaan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jika dahulu kemerdekaan itu bermaksud kebebasan daripada penjajahan, hari ini kit bercakap tentang satu lagi bentuk kemerdekaan, iaitu kemerdekaan kewangan.
“Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, kami bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada anak-anak sekalian,” katanya di majlis Raikan Ramadan Bersama PNB di sini, hari ini.
Menurutnya, program itu merangkumi pelbagai keutamaan masyarakat termasuk biasiswa dan program pendidikan, bantuan asnaf, pemerkasaan komuniti, keusahawanan wanita, inisiatif Santuni MADANI serta inisiatif literasi kewangan seperti Celik MADANI.
Katanya, usaha terbabit mencerminkan komitmen berterusan PNB untuk memastikan nilai yang dicipta dapat dikembalikan secara bermakna kepada rakyat.
Majlis Raikan Ramadan Bersama PNB pada tahun ini meraikan 66 orang anak yatim daripada beberapa rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang serta 50 pelajar Celik MADANI iaitu program literasi kewangan di bawah kelolaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Penyertaan pelajar Celik MADANI pada tahun ini adalah yang pertama sejak program berkenaan dilancarkan, sejajar dengan usaha PNB untuk memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan belia Malaysia.
Selain itu, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, PNB menyampaikan sumbangan berjumlah RM250 kepada setiap penerima, merangkumi RM100 tunai, RM100 dikreditkan terus ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Cenderamata daripada PNB.
Sumbangan ini, lebih-lebih lagi penyaluran ke dalam akaun ASB mencerminkan komitmen PNB yang menggalakkan literasi kewangan dan memupuk tabiat menabung yang berdisiplin sejak usia muda.
Dalam pada itu, sebagai pengisian program, anak-anak dan pelajar turut dibawa melawat kawasan sekitar Presint Merdeka 118, termasuk lokasi bersejarah seperti Stadium Merdeka.
Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap sejarah negara serta menghargai perjalanan Malaysia menuju sebuah negara berdaya tahan dan berdaya saing.
© New Straits Times Press (M) Bhd






