Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan dakwaan bahawa beliau seorang pengkhianat, selepas menghadiri pertemuan dengan beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jumpa PM bukan kesalahan!
Foto arkib: Bernama
Menurut laporan BH Online, Hamzah yang kini bukan lagi ahli BERSATU selepas dipecat menegaskan bahawa bertemu dengan mana-mana pemimpin termasuk dari pihak kerajaan, tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menuduh seseorang sebagai pengkhianat.
“Kalau saya jumpa Perdana Menteri (PM), apakah saya jadi pengkhianat?
“Jumpa PM bukan satu kesalahan. Saya hanya mahu meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara serta memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut, malam tadi.
Artikel lain: Dipecat BERSATU, Hamzah akan pimpin Parti Keluarga Malaysia -“90 peratus sudah pasti…”
Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak bersetuju sekiranya parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah menyertai Perikatan Nasional (PN).
Foto arkib: Bernama
Muhyiddin juga menekankan pertemuan Hamzah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’, sebagai antara sebab pemecatan Ahli Parlimen Larut itu daripada parti.
Bagaimanapun, Hamzah menegaskan beliau sendiri tidak mengetahui sebab sebenar pemecatan tersebut dan mempersoalkan mengapa pertemuan dengan pemimpin politik lain dijadikan isu.
“Kenapa tidak boleh terima, saya pun tidak tahu. Ada yang kata saya pengkhianat sebab jumpa pemimpin tertentu.
“Bagi saya, yang penting keikhlasan kita untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Sumber: BH Online (Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi)






